UUM ONLINE: Bagi meningkatkan pengetahuan penyelidik dalam pemerolehan geran penyelidikan, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) dengan kerjasama Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) telah menganjurkan Research Coaching Program di Dewan Seminar B, Pusat Konvensyen.
Program dikendalikan oleh sarjana terkenal dari Australia, Prof. Emeritus Keith A. Houghton dan telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad.
Prof. Ayoib dalam ucapan perasmiannya berkata berdasarkan data MyRA (Malaysia Research Assessment), telah dikenalpasti bahawa Ketua Penyelidik/Principal Investigator (PI) bagi UUM telah menurun sejak beberapa tahun ini justeru adalah penting bagi universiti mempelajari strategi bagaimana untuk mendapatkan geran luar seperti geran industri dan geran antarabangsa.
"Pada hari ini, kita bertuah kerana Prof. Keith ada bersama-sama untuk memberi pencerahan kepada kita semua dengan kepakaran dan ilmu pengetahuan beliau dalam bidang Penyelidikan, Penerbitan dan Penyeliaan.
"Bidang-bidang ini yang saling berkait adalah penting kepada universiti khususnya untuk meningkatkan lagi keterlihatan (visibility) dan kedudukan di peringkat antarabangsa," ujarnya.
Menurutnya matlamat keseluruhan penganjuran program tersebut adalah untuk meningkatkan pengetahuan penyelidik tentang cara-cara memperoleh geran dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi penyelidik yang hebat.
Program disertai seramai 101 penyelidik termasuk dari luar UUM.
Perkongsian pengalaman dan kepakaran oleh Prof. Keith dalam program dua hari itu dibahagikan kepada empat topik iaitu Dealing with Journal Reviewers and Editors – How to Add 'Punch' to your Research and Get Published?; Supervising PhD Students - What You Need to Get Successful and Timely Completions – A Case-Study Approach; Research Ethics – Case Studies on What Can We Learn From Mistakes of Others dan Research and International Collaborations – Being Involved in Industry/International Engaged Research.
Prof. Keith merupakan Pegawai Utama dan Ketua Strategis Akademik di Research Coaching Australia (RCA) dan Profesor Emeritus di Australian National University (ANU).
Hadir sama Timbalan Pengarah (Penyelidikan) RIMC, Prof. Madya Dr. Rozita Arshad mewakili Pengarah RIMC; dan Dekan TISSA-UUM, Prof. Madya Dr. Rose Shamsiah Samsudin.
Sumber berita : UKK UUM