UUM ONLINE: Produk penyelidikan UUM, UTLC Watch: SentiMiner berjaya merangkul Anugerah Emas di International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2019.
Penyelidikan ini hasil usaha bersama Ts. Dr. Izwan Nizal Mohd Shaharanee, Ts. Dr. Jastini Mohd. Jamil dan Prof. Madya Ts. Dr. Muhamad Shahbani Abu Bakar.
Penyampaian Anugerah Emas ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Prof. Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin pada Majlis Penutup IUCEL 2019 di DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sarawak.
Menurut Ts. Dr. Izwan Nizal Mohd Shaharanee, Karnival dua hari ini menerima 190 penyertaan dari pelbagai pihak termasuk Universiti Awam (UA), Universiti Swasta (US), industri dan sekolah.
Jelasnya, UTLC Watch: SentiMiner merupakan papan pemuka analitik untuk mengenalpasti sentimen pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
“Produk ini mengupayakan teknologi data analitik dan data raya dalam memberikan nilai tambah kepada UTLC dalam memahami keperluan pelajar dan pensyarah untuk meningkatkan kualiti dan pengalaman pembelajaran mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC) Prof. Madya Ts. Dr. Muhamad Shahbani Abu Bakar berkata, IUCEL merupakan platform untuk mempromosi, meneroka, dan berkongsi amalan terbaik serta kepakaran global dalam aplikasi e-Pembelajaran di semua peringkat institusi pengajian seluruh dunia.
Tambahnya, UUM dipilih sebagai tuan rumah dan penganjur bersama bagi International University Carnival on E-Learning (IUCEL) bagi tahun 2020.
Pengumuman ini dibuat oleh Prof. Dr. Mohd Cairul Iqbal yang menyampaikan watikah penganjuran IUCEL 2020 kepada Pengarah UTLC yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM.
IUCEL 2020 adalah penganjuran kali kelima oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Ketua-Ketua E-Pembelajaran IPTA Malaysia (MEIPTA) dan Malaysia Centre for E-Learning (MyCEL).
Sumber berita : UKK UUM