Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal 1441H, Kelab Kebajikan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) telah menganjurkan Projek Bakul Syawal yang merupakan salah satu inisiatif program khidmat masyarakat kepada golongan memerlukan.
Kutipan sumbangan daripada staf RIMC sejumlah RM1,230.00 telah diagihkan kepada empat orang petugas pembersihan yang bertugas di RIMC dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta dua keluarga asnaf terpilih di Mukim Lembah Keriang.
Pengarah RIMC, Profesor Dr. Nor Aziah Abdul Manaf berkata program seumpama ini diharapkan dapat membantu meringankan beban penerima yang terkesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa ekoran Wabak Pandemik Covid-19.
“RIMC mengambil kesempatan untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan agar mereka dapat bersama-sama menikmati kegembiraan Syawal”, ujarnya lagi.
Semua penerima sumbangan telah menerima bakul berupa barangan keperluan harian, bingkisan aidilfitri dan duit raya.
Sumber berita : Kelab Kebajikan RIMC