UUM ONLINE: Memiliki kemahiran dalam bidang pertukangan tidak membataskan Pembantu Operasi, Mohamad Nizam Mansor untuk menghasilkan inovasi bagi alat pemijak cecair basmi kuman (hand sanitizer) yang diberi nama ‘Step Sanitizer Dispenser’.
Menurutnya, walaupun alat pemijak itu kelihatan biasa, namun di saat negara sedang berdepan dengan ancaman penularan Covid-19, ia sangat membantu terutamanya staf UUM dari dijangkiti wabak tersebut menerusi sentuhan di botol hand sanitizer itu.
“Kebiasaannya, kita akan berkongsi menggunakan hand sanitizer yang diletakkan di atas meja untuk kegunaan rakan pejabat atau orang luar yang datang berurusan di pejabat.
“Tetapi, dengan adanya pemijak ini, kita tidak perlu bimbang lagi kerana tidak perlu menyentuh permukaan botol untuk pam keluar cecair basmi kuman berkenaan,” kata staf dari Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC).
Mohamad Nizam atau lebih dikenali sebagai Chot berkata, alat pemijak yang diperbuat daripada paip PVC itu berfungsi untuk memudahkan pengguna menggunakan hand sanitizer dengan hanya perlu menekankan kaki di bahagian pemijak di bahagian bawah dan paip yang terhubung itu akan menekan kepala botol, lalu mengeluarkan cecair basmi kuman tersebut.
Menurutnya, dia berjaya menghasilkan alat pemijak cecair basmi kuman ini atas usaha kerjasama dengan staf di CUIC yang banyak membantu dari segi idea untuk menambahbaik alat pemijak ini agar lebih mesra pengguna.
Katanya, untuk satu alat pemijak ini sahaja hanya mengambil masa selama satu jam untuk disiapkan, selain menggunakan paip PVC, dia menggunakan gam, pemotong paip dan pengikat kabel.
“Saya sangat berpuas hati kerana dapat menyumbangkan sesuatu kepada UUM terutamanya ketika kita sedang melawan Covid-19.
“Step Sanitizer Dispenser ini sangat berguna dan diperlukan orang ramai untuk memastikan tiada sentuhan yang berlaku semasa menggunakan cecair basmi kuman dan saya berharap ia dapat diperluaskan kegunaannya ke seluruh kampus,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Jaringan Masyarakat, CUIC, Suwannit Chareen Chit a/l Sop Chit berkata, penghasilan produk itu adalah salah satu agenda inovasi sosial dengan menghasilkan bahan yang boleh memanfaatkan semua orang.
Menurutnya, CUIC akan mempromosikan Step Sanitizer Dispenser itu ke semua pusat tanggungjawab (PTJ) dalam UUM, selain pejabat-pejabat kesihatan dan juga sekolah yang sering berdepan dengan orang ramai.
Katanya, untuk penambahbaikan pada masa hadapan, mereka akan menggunakan bahan yang lebih kuat dengan kos yang rendah.