UUM ONLINE: Penerima geran Covid-19 Pandemic Research Funding (ResQ-COVID-19) menyahut saranan Naib Canselor untuk menyiapkan kajian dalam tempoh tiga bulan berbanding empat bulan yang ditetapkan.
Pensyarah, Prof. Madya Ts. Dr. Azlizan Talib dari Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) berkata, dia menyahut cabaran itu walaupun tempoh diberikan agak singkat.
Menurutnya, dalam tempoh itu, dia dan pasukannya akan berusaha keras untuk melengkapkan kajian bertajuk ‘Membangun Ketahanan Usahawan Mikro Dan Kelompok Rentan Menerusi Inisiatif Padanan Infrastruktur Kewangan, Teknikal Dan Sosial pasca COVID-19’.
Katanya, bagi menjayakan projek penyelidikan itu, mereka telah bekerjasama dengan Persatuan Sains Sosial Malaysia dan KPDNHEP dalam usaha membantu peniaga kecil yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19.
“Alhamdulillah, daripada 49 permohonan yang dihantar, pasukan saya telah dipilih untuk menerima geran ResQ-COVID-19 yang bernilai RM20,000,” katanya.
Sementara itu, pensyarah, Nor Farzana Abdul Ghani berkata, dia berterima kasih kepada UUM kerana menerima kertas cadangannya yang akan menumpukan kepada golongan asnaf.
Menurutnya, golongan tersebut tidak berkecuali terkena tempias ekoran pandemik Covid-19.
Katanya, dia telah bekerjasama dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah untuk menghasilkan kajian bertajuk ‘AsnafFood: A Model Driven Development of Mobile Application For Reducing Food Waste Amongst Local Food Producers’.
“Dengan peruntukan geran berjumlah RM15,000 ini, saya akan berusaha menyiapkan kajian dalam tempoh tiga bulan seperti yang diminta Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani.
“Saya juga bersyukur kerana pihak universiti telah memberi kepercayaan kepada saya yang sudah berkhidmat selama 15 tahun di UUM untuk menjayakan misi penyelidikan ini,” katanya dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC).
Turut menerima geran tersebut ialah Dr. Risyawati Mohamed Ismail dari STML; Prof. Madya Dr. Shahrul Azmi Mohd. Yusof dari SOC; Prof. Madya Dr. Rozita Abdul Mutalib dari SOG dan Muhammad Ridhuan Bos Abdullah dari SEFB.
Sumber berita : UUM Corp Comm