UUM ONLINE: Tahun 2020 dilihat sebagai tahun bertuah bagi Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan lonjakan kedudukan dalam ranking dunia.
Terkini, UUM buat julung kalinya disenaraikan dalam Top 100 QS World University Rankings (QSWUR) Under 50 dengan kedudukan di 81-90 berbanding 101-150 pada tahun sebelumnya.
Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pertama kali UUM membuat 'debut' adalah pada tahun 2017 ketika mantan Naib Canselor yang kini Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof. Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang mengorak langkah dalam pelaksanaan Pelan Strategik UUM dan agenda ranking.
Menurutnya, beliau berterima kasih kepada Prof. Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa di atas usaha tersebut dan kini tahun demi tahun UUM telah menunjukkan pencapaian luar biasa apabila kedudukan universiti ini terus meningkat dengan hasil usaha keras seluruh warga kampus.
Katanya, bukan mudah untuk berada di satu tahap yang tinggi dan disenaraikan bersama universiti terbaik dunia kerana ia melibatkan reputasi dan juga impak penyelidikan sesebuah universiti.
"Dengan lonjakan yang ditunjukkan ini, ia adalah sesuatu yang membanggakan kerana kita bukan sahaja disenaraikan, malah meningkat dari tahun ke tahun.
"Saya berharap kita dapat meningkatkan lagi aspek reputasi akademik dan reputasi majikan bagi membolehkan ranking UUM terus berada di tahap tertinggi," katanya.
Naib Canselor berkata, beliau berharap agar warga universiti terus berusaha untuk menjayakan agenda universiti yang lain kerana masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan untuk meletakkan UUM sebaris dengan universiti-universiti ternama dunia.
Menurutnya, semua warga UUM telah berusaha tanpa henti dengan menunjukkan komitmen masing-masing bagi menjayakan agenda ranking universiti sehingga usaha ini membuahkan impak besar kepada universiti.
Pada terbitan pertama 2012, QSWUR Under 50 menyenaraikan universiti terbaik yang berusia di bawah 50 tahun berdasarkan keputusan QS World University Rankings terkini.
Kedudukan lengkap boleh layari https://www.topuniversities.com
Sumber berita : UUM Corp Comm