UUM ONLINE: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) telah diberikan kepercayaan sebagai rakan kongsi strategik TERAJU bagi program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera [DPUB] 2020 melalui projek ‘Muscling The Mussel Farming Community in Kuala Sungai Muda, Kedah’.
Ketua penyelidik, Prof. Madya Dr. Marlin Marissa Malek berkata, usaha itu adalah hasil kerjasama pintar antara tenaga pakar yang terpilih termasuk , Pengarah, Centre for Marine and Coastal Studies (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Aileen Tan Shau Wai yang juga memikul tugas sebagai Pengarah Eksekutif, Asia Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN).
Menurutnya, projek tersebut akan mengambil masa selama lima tahun yang mana dua tahun pertama adalah fasa pembinaan, manakala tiga tahun seterusnya adalah fasa pemantauan.
“Kepercayaan yang diberikan oleh TERAJU ini adalah hasil dari sesi ‘pitching’ yang telah diadakan pada Mac lalu di USM dan beberapa maklum balas yang diterima serta dinilai oleh pegawai penilai TERAJU.
“Bagi memastikan projek ini mencapai sasaran yang ditetapkan, pihak CUIC UUM akan menggalas tanggungjawab bagi pemantauan dan pelaporan pencapaian secara berkala kepada pihak TERAJU sepanjang tempoh projek ini dilaksanakan,” katanya.
Penyelidik lain yang turut terlibat ialah Pengarah CUIC, Dr. Shahrina Othman; Suwannit Chareen Chit (CUIC/SOC); Ahmad Hanis Mohd Shabli (SOC); Azlina Yahaman (CUIC), Dr. Faizatul Akmar Abdul Nifa (CUIC/STML) dan Dr. Mathivannan Jaganathan (SBM).
Projek ‘Muscling The Mussel Farming Community in Kuala Sungai Muda, Kedah’ melibatkan penghakupayaan komuniti dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi komuniti sasaran di Kuala Sungai Muda.
Kolaborasi strategik itu berperanan untuk memperkukuhkan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat terutama dalam kalangan usahawan Bumiputera B40.
Secara holistiknya, dana sebanyak RM1.75 juta diperuntukkan bagi membantu penternak kupang di komuniti sasaran dengan memastikan peningkatan kualiti kupang, mengaplikasikan kaedah 'Internet of Things' (IoT) dalam proses penghasilan kupang yang lebih lestari dan mesra alam.
Malah, hasil sinergi antara pakar UUM dan USM ini dijangka turut menyumbang dalam memastikan kesinambungan rantaian bekalan dalam aktiviti penjualan dan pemasaran kupang dalam melangkaui pelbagai generasi komuniti yang terlibat.
Atas dasar itu, usaha ini dapat membantu dalam peningkatan pendapatan dan kuasa pembelian golongan berpendapatan rendah dalam komuniti tersebut, di samping mencipta peluang pekerjaan, aktiviti keusahawanan serta meningkatkan produktiviti dalam kalangan masyarakat setempat.
Sumber berita : UUM Corp Comm & CUIC