UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) mengorak langkah baharu dalam bidang penyelidikan apabila menjalinkan kerjasama strategik dengan FR Qaseh Marketing Sdn. Bhd. dengan menandatangani Perjanjian Penyelidikan di EDC Hotels & Resorts, baru-baru ini.
Dokumen perjanjian penyelidikan antara FR Qaseh dengan UUM telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Yusnidah Ibrahim, manakala FR Qaseh Marketing diwakili Pengarah Urusan, Faizul Rohban.
Penyelidik UUM, Dr. Risyawati Mohamed Ismail yang merupakan Pengarah Unit Penyelidikan Keselamatan Makanan, Inovasi dan Penyelidikan Pembangunan (FInDER), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) telah dilantik bagi menjalankan penyelidikan berjumlah RM185,500 yang dibiayai sepenuhnya oleh FR Qaseh.
Prof. Dr. Yusnidah berkata, UUM telah memulakan perbincangan dengan pihak FR Qaseh sejak tahun lalu bagi menjalinkan jalinan kerjasama strategik tersebut.
“Penyelidik UUM telah memulakan penyelidikan yang berkisar kepada kajian saintifik ke atas herba dan kosmetik bagi mengkaji kesan kunyit putih terhadap kulit wajah manusia.
“Saya berharap agar kerjasama penyelidikan ini merupakan langkah awal bagi kesinambungan kerjasama antara industri dan juga UUM akan berterusan pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelidikan Antara Universiti Utara Malaysia (UUM) Dengan FR Qaseh Marketing Sdn. Bhd.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada FR Qaseh yang telah memenangi Anugerah Jenama Halal Terbaik Dunia pada 2019 melalui produk kopi pracampur Manja Kaseh dan Arjuna Kaseh.
Sementara itu, Faizul Rohban teruja apabila dapat berkolaborasi dengan UUM sebagai rakan kerjasama strategik memandangkan FInDER mempunyai kepakaran khususnya di dalam bidang penyelidikan saintifik.
Menurutnya, beliau sudah lama memasang impian untuk bekerjasama dengan universiti untuk mengadakan kajian yang lebih mendalam terhadap herba dalam usaha mengetengahkan kosmetik yang selamat dan semulajadi.
“Alhamdulillah hari ini impian itu telah tercapai dan saya mahu pelanggan melihat produk berkualiti sebab itu saya amat yakin untuk menggunakan kepakaran orang kita, namun ramai yang masih tidak faham kepakaran pengkaji atau penyelidik di negara ini.
“Perjalanan kunyit putih yang mempunyai banyak khasiat sudah bermula, justeru menerusi kerjasama ini saya ingin melihat apa lagi kebaikan kunyit putih yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Sumber berita : UUM Corp Comm