Inisiatif asal penubuhan Pusat Kecemerlangan (CoE) di Universiti Utara Malaysia adalah untuk meningkatkan sumbangan Universiti dalam penyelidikan dan penerbitan termasuklah perkhidmatan dan perundingan kepada industri dan masyarakat. Sejak lima tahun inisiatif pelaksanaan ini, terdapat beberapa CoE yang telah mula menunjukkan prestasi dalam bidang nic dan berpotensi untuk diangkat sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Penarafan HICoE ini menyediakan insentif dalam bentuk geran penyelidikan kepada CoE untuk memperkukuhkan keupayaan penyelidikan bidang nic bagi dilonjakkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Namun untuk dinaiktaraf menjadi HICoE, CoE memerlukan lebih komitmen dan perancangan hala tuju yang strategik dalam bidang nic CoE bagi membangunkan bakat dalam penyelidikan, penerbitan berimpak tinggi, penghasilan inovasi dan pembentukan jaringan kolaborasi. Menyedari kepentingan ini, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) telah menganjurkan program bual bicara secara atas talian melalui aplikasi Webex bertajuk 'Bicara Inovasi dan Penyelidikan: Hala Tuju CoE dan Instrumen HICoE' yang menampilkan dua panelis iaitu Pengarah RIMC, Profesor Dr. Nor Aziah Abd Manaf dan Timbalan Pengarah Tugas-tugas Khas RIMC, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar bersama Dr. Ruzelan Khalid selaku moderator.
Profesor Dr. Nor Aziah menjelaskan bahawa CoE sebenarnya perlu wujud dalam bentuk bottom up iaitu bermula daripada satu kumpulan penyelidik yang pakar dalam satu bidang dinamakan Unit Penyelidikan dan bekerjasama mengembeleng tenaga untuk diangkat menjadi CoE.
“Walau bagaimanapun, memandangkan Universiti perlu bergerak pantas, penubuhan awal CoE adalah dalam bentuk top down dengan hasrat supaya segala penyelidikan dan penerbitan bergerak di bawah CoE.
“Keseluruhan pencapaian Universiti adalah cerminan daripada pencapaian CoE. Pencapaian CoE masih banyak yang boleh dibuat penambahbaikan”, ujarnya lagi.
Sementara itu, Dr. Mohd Faizal pula menyatakan proses awal membentuk ekosistem ini, RIMC telah menganjurkan makmal untuk menetapkan nic dan seterusnya CoE dibina berdasarkan nic yang dibangunkan tetapi tiada lagi garis panduan disediakan pada ketika itu.
“Alhamdulillah, Polisi Tadbir Urus CoE telah diluluskan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Universiti baru-baru ini. Untuk menilai sesuatu entiti, satu tadbir urus yang baik dan struktur yang betul diperlukan. Polisi ini juga dibangunkan berdasarkan piawai kebangsaan dan praktis Universiti awam lain yang diadaptasi mengikut kesesuaian di UUM.
“Secara umumnya asas kepada CoE adalah HICoE. Ini satu permulaan ke arah yang lebih baik. Walaupun penanda aras di dalam instrumen HICoE adalah tinggi, tetapi ia boleh dijadikan sebagai panduan untuk CoE menetapkan hala tuju dan blueprint serta membuat pemilihan felo penyelidik yang mempunyai potensi kepakaran tertentu.
“Penambahan jumlah felo penyelidik menunjukkan kepada penambahan penunjuk prestasi kepada CoE tersebut. Bagi CoE yang memilih untuk teras penyelidikan dan inovasi, minimum 5 orang felo penyelidik sahaja diperlukan di CoE tersebut, manakala bagi teras perkhidmatan hanya empat felo penyelidik.
Di samping itu, Dr. Mohd Faizal turut menerangkan secara ringkas glosari dan instrumen HICoE bagi tahun 2020.
“HICoE ditubuhkan berdasarkan bidang keutamaan negara (NPA) dan kebanyakan CoE di UUM dikategorikan di bahagian lain-lain”, katanya.
Menurut Prof. Dr. Nor Aziah, UUM sedang dalam proses membangunkan sistem trek penyelidikan yang mana Felo Penyelidik akan diletakkan di dalam kategori ini. Walau terdapat kekangan dalam kewangan dan sumber manusia, CoE perlu memahami situasi semasa dan mencari peluang untuk kelestarian penubuhannya.
“CoE perlu ada sokongan daripada semua pihak. Inilah masa untuk mencari sinergi dan CoE bukan hanya berpusat di Pusat Pengajian masing-masing. Bagi Felo Penyelidik yang serius untuk memberi komitmen kepada CoE, mereka akan diberi satu pengurangan beban pengajaran.
Tambah Prof. Dr. Nor Aziah lagi, setiap CoE perlu melihat pencapaian masing-masing dari semasa ke semasa. Selari dengan pemerkasaan universiti bagi tahun 2021 sehingga 2025, CoE perlu bergerak ke arah pengantarabangsaan atau sekurang-kurangnya dikenali di kalangan pemain industri.
“Pembiaya geran mencari projek penyelidikan berpacukan kepada permintaan (demand driven) iaitu membantu penyelesaian masalah. CoE perlu tonjolkan bakat dan kepakaran yang ada, membuat soul analysis untuk tempoh lima tahun akan datang, kenalpasti kekuatan dan ke mana kita boleh bawa CoE yang menyokong kepada Universiti dan Pusat Pengajian”, di akhir katanya.
Felo Penyelidik Institute of Excellent Teachers and Leaders in Education (IETLE), Profesor Dr. Rosna Awang Hashim turut berkongsi pendapat bahawa Universiti perlu memberi keutamaan dalam menyediakan ekosistem yang menyokong bagi mempromosikan beberapa CoE sebagai peneraju di Universiti. Setiap CoE perlu ada identiti kepakaran masing-masing dan mampu bekerjasama supaya tidak hanya cenderung bersaing sesama sendiri.
Selain itu, salah seorang peserta program, Profesor Ts. Dr. Suhaidi B Hassan dari Pusat Pengajian Pengkomputeran menyatakan CoE di UUM mempunyai peluang untuk menjadi CoE yang berprestij seperti Oxford Internet Institute. CoE yang mempunyai nic daya saing ekonomi sebagai contoh boleh melihat peluang penyelidikan dalam aspek yang lebih luas namun relevan dengan Universiti seperti pendigitalan, undang-undang, hubungan antarabangsa dan lain-lain lagi.
“Ditambah dengan krisis kesihatan global yang belum pernah terjadi sebelum ini, dengan kesan ekonomi dan sosial yang teruk, United Nations turut menyediakan platform kepada organisasi di seluruh dunia untuk berkongsi idea bagaimana untuk membina masa hadapan yang lebih baik untuk semua. Ini boleh dijadikan peluang kepada CoE untuk membina rangkaian kerjasama dan menghantar cadangan melalui saluran yang disediakan”, ujarnya lagi.
Berita oleh : Norhana Shaibatul Khadri, Unit Tugas-tugas Khas RIMC