UUM ONLINE:
Cerita atuk
Perjuangan ini bukan kerana nama
Bukan mendabik jadi perwira
Tapi perjuangan ini atas dasar cinta
Kewajipan untuk membela
Lantas bangkit kerana khianat
Membunuh setiap kesumat
Pesan atuk
Tiada apa yang mereka pinta selain taat setia
Taat pada ketua, setia bersama negara
Tiada apa yang mereka harapkan selain kasih dan cinta
Kasih pada tanah, cinta pada nusa dan bangsa
Agar bibit kehancuran dapat dihalang
Agar ular tidak berkepala itu dapat kita buang
Nasihat atuk untuk semua
Kebebasan yang mereka cari bukan tiket untuk bersuka-ria
Kebebasan yang kalian rasa bukan kekal selamanya
Jangan kalian suka sehingga terlupa
Ada mata yang sedang memerhati
Musuh mengendap setiap masa
Mereka hanya menghitung hari
Jangan megah dengan kuasa yang kalian ada
Jangan angkuh dengan kecanggihan yang kalian guna
Semua itu hanya sementara
Dengan satu jari, mampu mengubah segalanya
Ini merupakan antara tiga rangkap pembakar semangat patriotisme hasil nukilan Mohamad Aiman Abdullah.
Sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-63, Jawatankuasa Kelab Kebajikan, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) telah menganjurkan Program RIMC: Merdeka Covid-19 di Managers Coffee, baru-baru ini.
Bagi menyemarakkan sambutan tersebut, dua orang Pegawai Penyelidik Sosial RIMC iaitu Mohammad Taufiq Othman dan Azam Arni Mohd Noor telah mendeklamasikan sajak ‘Cerita Atuk’ dengan penuh penghayatan.
Azam Arni berkata, sajak itu mempunyai maksud yang sangat mendalam untuk dijadikan pedoman kepada generasi muda.
“Bait-bait rangkap sajak ini berkisar kepada satu perjuangan dalam mempertahankan kedaulatan negara. Ia umpama pesanan seorang datuk kepada cucunya supaya sentiasa menghargai harga kebebasan yang dibayar oleh pejuang terdahulu,” katanya.
Pengarah RIMC selaku Penasihat Kelab Kebajikan RIMC, Prof. Dr. Nor Aziah Abd. Manaf dalam ucapannya berharap semua staf RIMC dapat menjadi rakyat yang prihatin dan penuh integriti dalam menjalankan amanah yang diberikan tidak kira di mana jua berada.
Menurutnya, program tersebut merupakan inisiatif RIMC untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan dalam norma baharu dan berdoa agar Malaysia akan bebas daripada Covid-19.
Gimik pelancaran sambutan yang bertemakan Malaysia Prihatin #RIMCPrihatin telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad yang mana beliau turut menyerahkan bendera Jalur Gemilang dan cecair basmi kuman (hand sanitizer) kepada Pengarah RIMC unutk edaran semua staf.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Kebajikan RIMC, Norhana Shaibatul Khadri berkata, pemberian hand sanitizer adalah signifikan dengan tema yang dipilih untuk meningkatkan kesedaran staf bagi membendung penularan wabak Covid-19.
“RIMC prihatin dalam memastikan staf RIMC dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan kebersihan.
“Sebelum ini, RIMC juga telah menerbitkan pesanan khidmat masyarakat sebagai tanda sokongan kepada usaha kerajaan dalam memerangi
Covid-19,” katanya.
Turut diraikan, Ketua Penolong Pengarah, Mohamad Fadzil Samiran dan Pembantu Tadbir, Siti Mariam Johari yang menyambut ulang tahun kelahiran masing-masing pada 30 dan 31 Ogos dan tayangan video montaj Hari Kebangsaan hasil kreativiti staf RIMC.
Selain itu, RIMC juga meraikan mantan Timbalan Pengarah Unit Tugas-tugas Khas, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Faizal Omar yang telah dilantik sebagai Pengarah baharu Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) dan persaraan Ketua Pembantu Pentadbir, Fatimah Sam Rejab serta Pembantu Tadbir, Harison Hassan.
Sumber berita : UUM Corp Comm & RIMC