UUM ONLINE: Malaysia Research Assessment Instrument (MyRA) merupakan instrumen penilaian yang dibangunkan secara komprehensif untuk menilai prestasi semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia dari segi sumbangan penyelidikan berilmiah, di samping terus melahirkan graduan yang berkualti tinggi hasil daripada ekosistem penyelidikan yang berdaya saing.
Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai universiti berteraskan pengurusan dan sains sosial berjaya mencapai penarafan 5 bintang dalam MyRA bagi tahun 2017 dan 2018 berbanding 4 bintang pada penilaian dua tahun sebelumnya.
Baru-baru ini, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) selaku Sekretariat bagi MyRA telah menganjurkan sesi Audit Dalam MyRA bagi pencapaian 2019 di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC).
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad berkata, MyRA merupakan agenda penyelidikan yang sangat penting.
Menurutnya, UUM telah menyediakan ekosistem yang sesuai untuk tempoh lima tahun dan dalam usaha penambahbaikan ekosistem sedia ada, universiti telah memperkenalkan Blueprint Research, Innovation, Commercialization, Entrepreneurship and Society (RICES 2.0) yang lebih terperinci.
“Antara yang baru diperkenalkan pada tahun ini ialah penubuhan Jawatankuasa Etika Penyelidikan Universiti dan penguatkuasaan Polisi Tadbir Urus CoE,” katanya pada sesi penutup Audit Dalaman MyRA bagi tahun 2019.
Bagi sesi penilaian MyRA untuk pencapaian tahun 2019, sebanyak tujuh kriteria iaitu Seksyen B (Kualiti dan Kuantiti Penyelidik), Seksyen C (Kualiti dan Kuantiti Penyelidikan), Seksyen D (Kualiti dan Kuantiti Pasca Siswazah), Seksyen E (Inovasi), Seksyen F (Perkhidmatan Profesional dan Hadiah), Seksyen G (Jaringan dan Jangkauan) dan Seksyen H (Kemudahan Sokongan) telah dinilai.
Sesi audit tersebut disertai tujuh juruaudit dalam iaitu Prof. Dr. Sany Sanuri Mohd. Mokhtar, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim, Prof. Madya Dr. Zuaini Ishak, Prof. Madya Dr. Azizah Ahmad, Prof. Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Nawawi, Prof. Madya Dr. Azham Hussain dan Prof. Madya Dr. Mazni Omar serta pembekal data dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) mengikut seksyen yang dinilai.
Sementara itu, Prof. Dr. Sany Sanuri selaku Ketua Juruaudit berkata, sesi pengauditan berjalan dengan lancar dan secara umumnya panel penilai merumuskan terdapat ruang penambahbaikan boleh dibuat oleh pembekal data bagi data dan bahan bukti yang dibekalkan sebelum dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Dengan pencapaian semasa UUM, tahun hadapan merupakan tahun yang mencabar bagi Universiti untuk mengekalkan prestasi sedia ada,” katanya.
Pengarah RIMC, Prof Dr. Nor Aziah Abd Manaf turut mengucapkan terima kasih kepada semua pembekal data dan beliau berharap agar UUM dapat mengekalkan prestasi penarafan lima bintang MyRA.
Menurutnya, bagi mengekalkan prestasi MyRA, beliau berharap MyRA menjadi agenda utama UUM kerana ia adalah pemangkin bagi menyokong agenda universiti yang lain seperti QS World University Rankings dan Times Higher Education World University Rankings.
Katanya, MyRA perlu menjadi agenda bagi setiap peringkat di UUM sama ada pengurusan atasan, pentadbir dan staf UUM, justeru beliau mengingatkan agar staf UUM dapat memuatkan data serta bahan bukti seperti pengiktirafan, anugerah, atau penerbitan di dalam sistem portal bagi membantu pihak sekretariat dan menambah baik data serta bukti yang diberikan mengikut catatan panel juruaudit dalaman.
Sumber berita : RIMC UUM & UUM Corp Comm