UUM ONLINE: Menyahut amanat memperkasakan agenda penyelidikan dan inovasi pada tahun baharu ini, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) telah melancarkan The RICES 2.0 di EDC Hotels & Resorts, baru-baru ini.
Pelancaran telah disempurnakan Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad yang turut diraikan dalam Majlis Sekalung Budi Lambaian Kasih bersempena persaraan beliau.
Menurutnya, The RICES 2.0 atau ‘Research, Innovation, Commercialization, Entrepreneurship and Societal’ merupakan pelan tindakan (blueprint) edisi ke-2 bertemakan Harmonizing & Nurturing Our research Ecosystem Towards 2020-2030 Excellence.
“Ia menyokong pelbagai agenda negara yang rata-ratanya mempunyai objektif untuk membudayakan inovasi sebagai pemacu untuk perkembangan ekonomi dan peningkatan kualiti penghidupan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Pada majlis sama, turut diadakan Majlis Amanat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) bagi tahun 2021 dan Mesyuarat Agung Kelab Kebajikan RIMC 2021/2022.
Dalam amanat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, semua pihak perlu bekerjasama untuk mengangkat Universiti Utara Malaysia sebagai sebuah universiti kebanggaan dalam konteks bidang penerbitan, penyelidikan, inovasi dan sebagainya.
“RIMC perlu lebih cemerlang dan tingkatkan kecekapan dalam pentadbiran supaya dapat dijadikan contoh kepada jabatan lain. Kenal pasti return of investment bagi setiap perkara yang dilakukan.
“Jika ingin berjaya, belajarlah dari sikap helang dalam membina matlamat, keupayaan dan keberanian dengan terbang tinggi. Dari tempat tinggi, pandangannya akan lebih jauh dan menyeluruh mencari mangsa. Begitulah juga kehidupan kita. Lebih tinggi kita pergi, lebih luas pemikiran kita dalam melihat peluang di sebalik kesusahan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Kebajikan RIMC bagi penggal 2021/2022, Azam Arni Mohd Noor dalam Mesyuarat Agung Kelab Kebajikan RIMC berkata, pelantikan beliau itu adalah satu tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul dengan amanah bersama jawatankuasa baru.
Menurutnya, matlamat utama penubuhan Kelab Kebajikan RIMC adalah sangat penting bagi membantu pengurusan RIMC memenuhi sasaran pelan strategik iaitu dengan melibatkan staf dalam aktiviti bertemakan kesihatan, alam sekitar dan khidmat masyarakat.
Katanya, program-program yang dijalankan itu juga merupakan satu platform bagi menghubungkan dan merapatkan silaturahim antara staf RIMC serta melahirkan satu semangat berpasukan yang tinggi yang akhirnya dapat memberi satu impak yang baik kepada pembangunan organisasi.
Turut diraikan pada majlis tersebut ialah Prof. Madya Dr. Rozita Arshad yang telah berkhidmat di RIMC untuk tempoh tiga tahun sebagai Timbalan Pengarah (Penyelidikan), selain aktiviti cabutan bertuah dan sambutan hari lahir Prof. Dr. Ayoib.
Sumber berita : RIMC & UUM Corp Comm