UUM ONLINE: “Jauh di lubuk hati, saya akan berkerja keras bersama-sama seluruh warga UUM dalam usaha mengangkat UUM menjadi universiti terbaik di Malaysia, Asia dan dunia.
Saya yakin suatu hari nanti UUM akan muncul sebagai sebuah universiti kebanggaan negara di mana menjadi pemacu utama kepada pembangunan dan kemakmuran negara khusunya dan dunia amnya.
“Kita akan berusaha sedaya upaya untyk memberikan pendidikan terbaik kepada pelajar kita 70 peratus daripada mereka datang dari kalangan B40. Pastinya mereka mengharapkan UUM menjadi platform terbaik untuk mereka menimba ilmu dan kemahiran sebelum memasuki dunia pekerjaan,” kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam temubual khas di pejabatnya, baru-baru ini.
Perkara utama lain yang bermain di fikiran beliau ialah bagaimana universiti boleh menjadi sebuah institusi yang cukup cemerlang dan ternama khususnya dalam aspek penyelidikan, penerbitan, perundingan, pengkormesilan, inovasi, dan kerjasama strategik dengan industri dan masyarakat.
Menurutnya, kekuatan sesebuah universiti itu terletak kepada sumber manusia. Sehubungan dengan itu beliau akan membantu universiti memperkemas aspek sumber manusia universiti sehingga mencapai tahap berprestasi tinggi. Walauapapun beliau tidak menafikan akan kepentingan lain seperti infrastuktur dan infostruktur yang perlu terus dimantapkan.
Justeru, konsep turun pandang merupakan pendekatan yang dilakukannya dalam usaha merasa denyut nadi warga akademik, pentadbiran, pelajar dan semua pemegang taruh universiti. Saya percaya dengan sumber manusia yang benar-benar mantap dapat membina sesebuah institusi itu menjadi hebat.
Beliau juga mengambil pendekatan demokratik dengan berpegang kepada pendekatan Engage, Accelarate, Advance dalam melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan kepadanya.
Beliau sentiasa mengalu-alukan pandangan semua pihak iaitu dengan memberi ruang kepada semua untuk bertemu beliau dengan dasar buka pintunya iaitu memberi ruang untuk sesiapa sahaja bertukar-tukar idea dan pandangan dalam usaha membina UUM menjadi sebuah universiti yang mempunyai falsafah dan jiwa atau ruh yang luhur.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap usahanya adalah berteraskan kepada prinsip Berwawasan, Berintegriti, Bermaruah.
Prof. Dr. Haim berkata, beliau akan menggerakkan agenda ’360 Reform @ Total Reform’ ke atas semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah portfolionya.
Ini akan melibatkan jabatan seperti RIMC, ICC, UUM PRESS, IMBRE, CACE, UCOE dan SCOE dan Pusat Pengajian Pasca Siswazah dan lain-lain.
Beliau juga ada menegaskan akan berusaha sedaya upaya dengan berkerjsama dengan semua pihak supaya UUM benar-benar menjadi sebuah universiti yang cemerlang dalam agenda penyelidikan, penerbitan, perundingan, perkormersilan, dan kerjasama strategik dengan pihak industri dan komuniti baik di peringkat negara mahupun antarabangsa.
Menurutnya, beliau berpegang kepada pentingnya setiap warga UUM mempunyai wawasan dalam menjalankan amanah.
Beliau menegaskan apapun jawatan seseorang itu, dia perlu berwawasan dan berkerja keras dalam memastikan amanah yang dipikulnya itu benar-benar mencapai objektif yang ditetapkan demi memastikan janji UUM kepada agama, bangsa dan negara serta seluruh ummah dapat direalisasikan.
Pada masa sama, beliau turut memberi penekanan terhadap integriti di mana setiap aspek baik masa, infrastuktur dan wang ringgit yang diperuntukkan adalah milik rakyat dan negara. Justeru itu beliau akan berusaha bersungguh-sungguh agar tiada pembaziran dan apa jua bentuk penyelewengan berlaku di UUM. Pada beliau, UUM adalah pentas utama untuk melahirkan modal insan bertaraf kelas pertama dengan akhlak terpuji demi memastikan kelangsungan negara. Amanah ini yang perlu dijunjung setinggi-tingginya.
Beliau juga menegaskan akan peri pentingnya setiap warga UUM menjaga maruah diri dan institusi sebaik-baiknya. Maruah adalah ibu kepada segalanya dan jika semua warga bermaruah terpuji, saya yakin UUM mampu melonjak lebih jauh dan menjadi kebanggaan agama, bangsa dan negara suatu hari nanti,” katanya.
Pelan Strategik Fasa 3 (2021-2025) merupakan komitmen universiti dalam menggembleng agenda membina negara bangsa.
Secara khususnya beliau akan memacu UUM menjadi universiti penyelidikan dalam bidang sains sosial dengan mengupayakan sebanyak mungkin pensyarah, pelajar pasca siswazah dan pelajar sarjana muda.
Untuk menjadi universiti yang dinamik, berdaya maju dan mampu pergi jauh, UUM perlu memanfaatkan semua sumber secara terancang, berperingkat dan menjadi budaya baharu.
Selain itu katanya, COVID-19 merupakan satu perkara memberi kesan yang cukup besar khususnya dalam bidang pendidikan sehingga pelajar tidak dapat belajar secara bersemuka di kampus.
Beliau menegaskan akan terus memacu UUM akan menjadi peneraju utama dalam mengenalpasti strategi terbaik khususnya dalam mengekang impak negatif pandemik COVID-19 kepada sosio ekonomi dan kesejahteraan negara.
“Tahun ini 2021 UUM sudah 37 tahun iaitu generasi kedua dan pastinya memerlukan halatuju yang cukup jelas dalam memacu agenda pendidikan tinggi negara. Kita semua adalah harapan agama, bangsa dan negara kita dalam perjuangan membina negara bangsa kita” katanya.
Mengakhiri bicara, Prof. Dr. Haim mengharapkan semua warga kampus dapat bersama dalam usaha besar untuk memajukan UUM dengan mendokong kuat falsafah universiti iaitu Ilmu, Budi, Bakti.
Beliau menyeru agar semua warga UUM bangkit dan berkerja bersama-sama membina UUM menjadi sebuah universiti kebanggaan semua iaitu sampai ke tahap hebat dan terkemuka di persada dunia, insyaallah" katanya.