UUM ONLINE: Tiga pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan pertemuan dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Brigedier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad bagi membentangkan kerangka dasar untuk melestarikan industri penginapan mesra Muslim di negeri Kedah.
Pensyarah tersebut, Dr. Mohd Akhir Ahmad dari Pusat Pengajian Teknologi dan Logistik (STML), Prof, Madya Dr. Noor Azimin Zainol dan Dr. Noor Suhaila Mohd Yusuf dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) telah membentangkan Kertas Polisi Kerangka Dasar Dalam Melestarikan Industri Penginapan Mesra Muslim di negeri Kedah di hadapan Dato’ Najmi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia.
Projek itu melibatkan kerjasama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dengan Institut of Halal Management (IHM), UUM dan Persatuan Budget Hotel Kedah dan Perlis serta Islamic Tourism Centre (ITC), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Pembinaan kertas polisi ini adalah berdasarkan dapatan dari hasil kajian projek yang telah dijalankan selama lebih setahun dan telah mendapat maklum balas positif Dato’ Najmi selepas pembentangan diadakan.
Turut dibincangkan pada pertemuan itu ialah hala tuju kertas polisi ini pada masa akan datang dan agenda seterusnya.
Kertas polisi ini juga telah mendapat perhatian pihak antarabangsa yang mana Jepun dan Indonesia juga telah menunjukkan minat untuk bekerjasama dalam perkongsian ilmu dan menerapkan dasar polisi ini di negara masing-masing.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Halal, JHEAIK, Syeikh Marwazi Dziyauddin dan Presiden Persatuan Budget Hotel Kedah, Zakaria Zainol.
Sumber berita : UUM Corp Comm