UUM ONLINE: Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah mengadakan perjumpaan dengan ahli akademik terdiri Pensyarah DS45, DS52, Prof. Madya dan Profesor dalam empat
sesi berasingan secara maya, baru-baru ini.
Dalam pertemuan tersebut, beliau membentangkan data-data pencapaian agenda penyelidikan, penerbitan, perundingan dan pengkomersialan (4P) UUM.
Prof. Dr. Haim Hilman menekankan perlunya usaha dilipatgandakan bagi meningkatkan lagi aktiviti 4P di UUM.
“Semua ahli akademik harus memanfaatkan geran agensi luar (awam dan swasta) dan antarabangsa sebaik mungkin, namun saya dapati masih terdapat ahli akademik yang tiada geran penyelidikan atau menjadi
penyelidik utama,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyatakan kesediaan untuk mendengar dan membantu memanjangkan pelbagai permasalahan yang disuarakan oleh semua ahli akademik khususnya dan pentadbiran amnya ke peringkat
pengurusan tertinggi universiti.
“Saya berharap sesi pertemuan ini dapat menjadi wadah perbincangan berhubung saranan, pandangan dan isu yang perlu ditambah baik demi memastikan kecemerlangan universiti dapat dipertingkatkan lagi terutamanya
dalam memacu agenda 4P UUM,” katanya.
Prof. Dr. Haim Hilman turut menyentuh kemuliaan seorang yang bergelar ahli akademik atau guru yang mana beliau menyeru agar semua rakan akademik benar-benar memainkan peranan utama dalam mendidik anak bangsa.
Teruskan perjuangan dalam memberikan yang terbaik dalam membina negara bangsa.
Beliau juga mengingatkan agar seluruh warga akademik UUM berganding bahu menjadikan UUM sebagai gedung ilmu kebanggaan rakyat, negeri Kedah dan negara.
Sumber : UUM Corp Comm & Pejabat TNCPI