UUM ONLINE: Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menggesa semua Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk berjuang mengangkat UUM setanding dengan universiti penyelidikan (RU) dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata demikian pada perjumpaan bersama CoE dari tiga teras iaitu teras perkhidmatan, penyelidikan dan inovasi bagi membincangkan agenda pemerkasaan kecemerlangan CoE, baru-baru ini.
“Saya berharap CoE dapat mula mengorak langkah menjadi pusat kecemerlangan di pusat pengajian masing-masing.
“Pastikan hala tuju CoE lebih realistik dan praktikal seiring dengan kehendak industri dan komuniti. CoE perlu merebut peluang dan membina jaringan kerjasama bagi membantu industri dan komuniti untuk pembangunan negara,” katanya.
Prof. Dr. Haim Hilman juga menegaskan bahawa CoE perlu lebih bersifat lestari yang berupaya menjana pendapatan tanpa terlalu bergantung kepada dana kerajaan.
Menurutnya, perjuangan ketika ini merupakan perjuangan CoE bergerak mencapai status HiCoE pada masa akan datang.
Sumber berita : UUM Corp Comm & Unit Tugas-tugas Khas RIMC