UUM ONLINE: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Mansor Othman menyarankan agar karya-karya bermutu tempatan dapat diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah MAPIM-KPT Ke-13 yang berlangsung secara atas talian menerusi Facebook Live Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), baru-baru ini.
Menurutnya, penting untuk menghasilkan karya yang menarik bagi menarik lebih ramai pembaca, begitu juga dalam konteks buku ilmiah Pengajian tinggi.
“Buku rujukan amat diperlukan bagi memperkaya korpus ilmiah dan penyebaran ilmu baharu. Buku ilmiah yang tuntas dan universal hasil karya daripada pemikiran para sarjana tempatan masih kurang berbanding jumlah akademia yang berstatus profesor di universiti awam.
“Tambahan pula di era krisis pandemik serta persaingn dengan kecnggihan teknologi maklumat, amalan membaca generasi muda mula beralih kepada bahan digital atau dalam talian secara drastic, malah tabiat ini telah menular kepada generasi pertengahan umur dan generasi warga emas,” katanya.
UUM telah dipilih sebagai tuan rumah Majlis Anugerah MAPIM-KPT Ke-13 secara maya berikutan pandemik Covid-19 yang mana majlis etrsebut turut dihadiri bersama Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan MAPIM, Prof. Dato’ Dr. Ir Abd. Wahab Mohammad dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.
Sementara itu, Prof. Dr. Haim Hilman berkata, industri perbukuan konvensional perlu melakukan 'adjustment' agar kandungan dapat disampaikan dengan lebih mudah dan tepat kepada para pembaca memandangkan kebanyakkannya memilih cara pembacaan melalui alat peranti komunikasi.
Beliau juga menyeru penggiatan penyebaran dan penjualan buku secara elektronik bagi memupuk semangat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Manakala Prof. Dato’ Dr. Ir Abd. Wahab berkata, penerbit-penerbit MAPIM haruslah kreatif dan inovatif supaya terus bertahan dan relevan, agar budaya penulisan ilmiah terus berkembang dan penerbitan hasil penyelidikan ilmiah dapat disebarkan.
Menurutnya, perubahan daripada penggunaan bahan bacaan yang tradisional kepada alat peranti iaitu e-buku bukan sahaja bagi menyesuaikan dengan tabiat pembaca sebaliknya mampu menaikkan pembelian buku diatas talian.
“Tahun lalu, MAPIM berjaya mengadakan tiga kali aktiviti pesta buku secara atas talian untuk jualan buku di dalam negara serta menyertai Frankfurt Book Fair yang telah membuka mata akan kelebihan pengajuran secara online dan semestinya mampu memberikan impak yang lebih positif dalam menghadapi situasi di masa hadapan,” katanya.
Sumber berita : UUM Corp Comm