UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Universiti Utara Malaysia (UUM) terus giat meluaskan jaringan dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama pihak industri, antaranya mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Ibu Pejabat KWSP, semalam.
Kunjungan diketuai Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani itu telah disambut Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yang juga merupakan Pengerusi RHB Banking Group.
Naib Canselor berkata, tujuan kunjungan hormat itu adalah bagi memperkukuhkan hubungan kerjasama UUM dan KWSP dalam pelbagai bidang antaranya penawaran program-program pengajian di UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) seperti program latihan eksekutif dan program pembiayaan mikro (sijil profesional) serta bidang-bidang khusus kepada pegawai dan kakitangan KWSP seluruh Malaysia seperti kewangan, perakaunan, pelaburan dan sumber manusia.
Di samping itu, menurutnya, penawaran Ijazah pertama melalui platform saluran terbuka (open channel), penawaran program MBA dan PhD, malah universiti turut mempelawa KWSP untuk mengintai peluang penjanaan kekayaan (wealth creation) melalui portfolio pelaburan yang berpotensi untuk diterokai oleh KWSP dalam Pendidikan Tinggi (Higher Education) dan Pembangunan Hartanah (Property Development) melalui kerjasama pendidikan dan pengkomersialan tanah UUM di Sintok dan Langkawi melalui Projek Agro Perladangan dan Pembangunan Hartanah komersial.
"KWSP juga turut dipelawa untuk mengguna pakai fasiliti di UUM bagi tujuan program latihan, ‘retreat’ dan aktiviti sukan tahunan khususnya bagi kawasan utara memandangkan UUM mempunyai fasiliti yang lengkap dengan kemudahan penginapan dan asrama, kemudahan Pusat Sukan dan riadah, kafetaria dan aktiviti ‘jungle trekking’.
"UUM amat berterima kasih atas segala minat dan kesungguhan yang ditunjukkan KWSP untuk bekerjasama dengan UUM. Melalui pelbagai kerjasama yang dirancang ini kelak, saya yakin ianya bakal memberi pelbagai manfaat kepada kedua-dua belah pihak dan bersifat win-win situation," katanya.
Pada sesi perbincangan itu juga, KWSP turut mempelawa UUM untuk mengadakan sesi taklimat kepada bahagian pengurusan dan kakitangan KWSP dalam penawaran program ijazah pertama dan ijazah lanjut yang mana kemudahan serta fasiliti di Bangunan Ibu Pejabat KWSP dan EPF Learning Centre (ELC), Bangi ditawarkan kepada UUM untuk dijadikan tempat kuliah selepas waktu pejabat kepada pegawai dan kakitangan KWSP yang ingin melanjutkan pengajian.
Tan Sri Ahmad Badri berkata, dengan penawaran fasiliti ini, ianya akan membantu dan memudahkan pergerakan pegawai dan kakitangan KWSP, selain fasiliti yang disediakan adalah lengkap dalam memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Tambahnya, KWSP berminat untuk meneruskan kerjasama dalam penawaran ijazah pertama dan ijazah lanjut dalam bidang Kaunseling yang ditawarkan UUM.
"Kita sedia maklum tentang pelbagai usaha yang telah digembleng UUM dalam meletakkan nama universiti itu di persada antarabangsa, selain pencapaian semasa UUM sebagai salah sebuah IPTA yang berfokus dan usaha pengantarabangsaan yang dilakukan melalui kerjasama strategik dengan universiti terkemuka dunia seperti National University of Singapore, University of Hull dan Murdoch University termasuk melalui penawaran program ijazah berganda, pelantikan ejen luar negara dan perancangan pejabat offshore di Indonesia, China dan Timur Tengah.
"Saya berterima kasih kepada UUM di atas segala usaha dan jalinan kerjasama yang bakal dilaksanakan dan UUM merupakan IPTA pertama yang mengadakan sesi kunjungan hormat ini untuk jalinan kerjasama universiti dan KWSP," katanya.
KWSP yang ditubuhkan pada 1951 sebagai badan berkanun merupakan antara tabung simpanan persaraan tertua dan terbesar di dunia yang menyediakan manfaat persaraan kepada pekerja sektor swasta dan berpencen di Malaysia dengan akaun lebih 14 juta ahli bersama jumlah caruman mencecah RM800 bilion dan jumlah aset di bawah pengurusan menghampiri trilion ringgit.
Selain itu, KWSP turut memiliki anak syarikat iaitu RHB Bank, Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dan Meyer Bergman.
Turut serta, Provos UUMKL, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar; Timbalan Pendaftar UUMKL, Mohd Zulkifli Mohd Noor dan pegawai-pegawai kanan KWSP.
Sumber berita : UUM Corp Comm