UUM ONLINE: Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) telah mengadakan Audit Dalam Malaysia Research Assessment (MyRA) Penilaian Data Tahun 2020 bertempat di Future Learning Lab, UTLC, baru-baru ini.
MyRA ataupun Penilaian Penyelidikan Malaysia merupakan instrumen penilaian yang dibangunkan secara komprehensif untuk menilai keupayaan penyelidikan dan prestasi semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.
Pengarah RIMC, Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf berkata, “UUM perlu mengekalkan mencapai penarafan 5 bintang dalam MyRA 2020 kerana saya percaya dengan penarafan yang diberi akan menjadikan warga UUM lebih semangat untuk memberi yang terbaik dalam sektor pentadbiran dan pengajian di UUM.
Menurutnya, usaha yang lebih proaktif perlu dijalankan untuk menjadikan UUM sebagai sebuah universiti penyelidikan pada masa hadapan.
“Bagi menjadi sebagai universiti penyelidikan adalah tidak mudah, justeru penglibatan semua pihak terutamanya pensyarah dan pelajar diperlukan supaya dapat mencapai penarafan yang tertinggi,” katanya.
Audit Dalam MyRA adalah salah satu proses yang wajib dilakukan bagi menilai kesahihan maklumat berkenaan input dan output penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi UUM yang disediakan oleh pembekal data dari pelbagai pusat tanggungjawab (PTJ).
Sesi audit tersebut diketuai oleh Prof. Dr. Sany Sanuri Mohd. Mokhtar bersama enam Juruaudit Dalam iaitu Prof. Dr. Haslinda Ibrahim, Prof. Madya Dr. Zuaini Ishak, Prof. Madya Dr. Azizah Ahmad, Prof. Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Nawawi, Prof. Madya Dr. Azham Hussain dan Prof. Madya Dr. Mazni Omar.
Sebanyak tujuh kriteria penilaian iaitu Seksyen B (Kualiti dan Kuantiti Penyelidik), Seksyen C (Kualiti dan Kuantiti Penyelidikan), Seksyen D (Kualiti dan Kuantiti Pasca Siswazah), Seksyen E (Inovasi), Seksyen F (Perkhidmatan Profesional dan Hadiah), Seksyen G (Jaringan dan Jangkauan) dan Seksyen H (Kemudahan Sokongan) yang telah dinilai.
Sumber berita :
UUM Corp Comm & RIMC