UUM ONLINE: Alor Setar – Melihat ramai usahawan wanita yang terjejas akibat pandemik Covid-19, Geran Penyelidikan Kolaborasi Industri (ICG) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Kedah dan Yayasan Sultanah Bahiyah telah menganjurkan Seminar Pembangunan Usahawan Wanita Kontemporari Negeri Kedah di Bangunan UTC, baru-baru ini.
Seminar Pembangunan Usahawan Wanita Kontemporari Negeri Kedah yang diketuai oleh Dr. Shamsul Huda Abd Rani itu menyuntik semangat yang luar biasa dalam kalangan usahawan wanita seramai 40 orang.
Menurutnya, idea untuk menganjurkan program itu tercetus setelah melihat ramai golongan usahawan wanita yang terjejas dalam perniagaan akibat pandemik Covid-19 sejak setahun yang lalu.
Katanya, objektif program meliputi peningkatan motivasi keusahawanan dalam kalangan peserta, meningkatkan keyakinan diri, menambahkan jaringan keusahawanan serta mendedahkan peserta terhadap ilmu keusahawanan kontemporari.
“Program ini dibahagikan kepada 3 fasa pelaksanaan. Fasa pertama, menyuntik motivasi keusahawanan serta membina keyakinan diri usahawan wanita. Manakala fasa kedua meliputi latihan keusahawanan kontemporari dengan pendedahan terhadap pemasaran digital, pembungkusan kreatif dan penjenamaan produk akan dilaksanakan sekitar Mei 2021. Fasa ketiga pula merupakan sesi permentoran bersama para peserta program,” katanya.
Seminar tersebut dirasmikan Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Prof. Dr. Salniza Md Salleh.
Hadir bersama Pengurus Besar Yayasan Sultanah Bahiyah, Misbah Dato’ Abdul Hamid dan wakil Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kedah, Azhar Ali serta wakil-wakil jabatan dan juga ahli penyelidik UUM iaitu Prof. Madya Dr. Norashidah Hashim, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar, Dr. Sahadah Abdullah, Dr. Normalisa Isa, Dr. Bidayatul Akmal Mustafa Kamil dan Dr. Shiza Sa’atar.
Sumber berita : UUM Corp Comm & SBM