UUM ONLINE: Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ‘Outreach’ Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) dilihat berupaya melancarkan proses vaksinasi dan membantu negara mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas.
Pengarah Pusat Kesihatan Universiti, Dr. Adi Azhar Abdul Razak berkata, pandemik Covid-19 telah mengubah kehidupan semua orang sejak tercetusnya virus itu pada tahun lalu.
Justeru katanya, PPV 'Outreach' IPT UUM diwujudkan tepat pada masanya untuk melancarkan proses pemberian vaksin kepada rakyat selaras dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menurutnya, inisiatif ini memberi peluang kepada penjawat awam dan penduduk sekitar daerah Kubang Pasu, khususnya untuk mendapatkan vaksin masing-masing pada tarikh yang telah ditetapkan.
"Kita mensasarkan 2,500 dos vaksin sehari diberikan kepada mereka yang mendapat tarikh temunjanji di MySejahtera, justeru saya berharap penduduk di daerah ini termasuk warga UUM dapat mengemaskini MySejahtera masing-masing sebelum datang ke PPV ini.
“Saya juga bersyukur dan berterima kasih kepada semua petugas dan sukarelawan terlibat kerana melicinkan urusan di dalam dewan ini, malah memberikan komitmen tinggi sepanjang masa," katanya.
PPV 'Outreach' IPT UUM dijayakan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Siti Sarah Ahmad Suki berkata, dia menjadi sukarelawan di PPV ‘Outreach’ IPT UUM kerana minat dengan aktiviti kemasyarakatan, selain ingin membantu memudahkan 'frontliners' menangani kes Covid-19 dengan memberikan vaksin kepada rakyat Malaysia dengan lebih pantas.
Menurutnya, dia ingin bersama-sama membantu rakyat di Kedah khususnya di Kubang Pasu seperti menyusun atur keadaan tempat dan proses pengambilan vaksin semasa di dalam PPV.
“Cabaran utama sebagai seorang sukarelawan dalam musim pandemik Covid-19 adalah risiko terdedah dengan jangkitan Covid-19. Oleh yang demikian, sukarelawan di PPV perlu lebih berjaga-jaga semasa melakukan tugasan yang telah diberikan seperti memakai pelitup muka dan PPE yang telah disediakan,” katanya.
Sumber : UUM Corp Comm