UUM ONLINE: Sekumpulan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) terpilih menjayakan projek rintis keusahawanan sosial ‘Anak Alam’ dengan peruntukan dana RM20,000 oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) di bawah Program Keusahawanan Peringkat Nasional 2020/2021 'University to Community'.
Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa, Wafa Elyana Ahmad Mahreez yang juga ahli Kelab ENACTUS UUM berkata, Anak Alam menyediakan latihan dan peluang penjanaan pendapatan sampingan kepada suri rumah sepenuh masa dan ibu tunggal bagi penghasilan sabun organik menggunakan bahan-bahan semula jadi yang mudah diperoleh seperti oat (bijirin), bunga telang, daun bidara, susu dan sebagainya.
Menurutnya, projek itu adalah bagi membantu golongan tersebut keluar dari lingkaran kemiskinan dan memberi semangat kepada mereka untuk membina kehidupan yang lebih baik.
“Dengan mempunyai pendapatan yang lebih baik, suri rumah mahupun ibu tunggal ini dapat melabur dalam kesihatan, pendidikan dan pemakanan demi kelangsungan hidup mereka.
“Projek Anak Alam ini bukan sekadar menjual sabun sahaja, malah untuk memperkasakan mereka yang terlibat dalam projek ini,” katanya yang turut berterima kasih kepada pihak universiti terutama Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani yang sentiasa menyokong dan memberi galakan kepada pelajar untuk terlibat aktif dalam aktiviti keusahawanan.
Projek rintis Anak Alam ini turut mempunyai aplikasi digital dinamakan ‘Social Enterprise Management Systems’ (SEMS) yang membolehkan pemantauan efisien antara komuniti yang terlibat, ahli-ahli Anak Alam dan pihak berkepentingan.
Pelajar Sarjana Muda Sains (Teknologi Maklumat), Edwin Ong berkata, dia berhasrat agar projek tahun akhir itu dapat memberi manfaat kepada dunia keusahawanan sosial dan digunakan secara meluas kelak.
“Aplikasi ini dibangunkan untuk Anak Alam dan saya telah mendapat bimbingan pensyarah, Suwannit Chareen Chit untuk membangunkan aplikasi tersebut yang didedikasikan untuk kebaikan dunia keusahawan sosial dan komuniti berkeperluan,” katanya.
Program Keusahawanan Peringkat Nasional 2020/2021 'University to Community' menerima peruntukan sebanyak RM650,000 daripada KPT bagi melatih seramai 600 pelajar di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti dalam bidang keusahawanan sosial.
Program itu dilancarkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).
Pelajar UUM yang terlibat dalam projek Anak Alam itu mendapat bimbingan Penyelaras ENACTUS, Fatin Athirah Fadzillah dan nasihat Pengarah Eksekutif CEDI, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam.
Kumpulan pelajar yang terlibat di dalam projek rintis Anak Alam ini terdiri daripada pelajar pelbagai jurusan dan cenderung dalam aktiviti kemasyarakatan. Antara enam ketua pelajar (co-leads) mewakili keseluruhan 30 ahli kumpulan dihantar bagi menghadiri Bootcamp Keusahawanan Sosial anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris dan MaGIC ialah Ayu Lyana Kamasahpihi, Nurul Asyikin Md Ismail, Edwin Ong, Kausalyaa Ilangovan, Muhammad Naim Ramle dan Wafa Elyana Ahmad Mahreez.
Sumber berita : UUM Corp Comm dan Nurul Asyikin Md Ismail (Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti)