UUM ONLINE: Kerjasama strategik antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Maxwell CFM International dilihat berupaya untuk memberi impak positif dalam meningkatkan lagi pencapaian kedudukan UUM di persada antarabangsa.
Maxwell CFM International merupakan sebuah syarikat pengurusan fasiliti bertaraf antarabangsa yang diketui oleh alumni UUM, Arvagara Pavithran Subramani selaku Ketua Pegawai Eksekutif.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, UUM mengalu-alukan inisiatif kedua pihak untuk menjalinkan kerjasama bagi manfaat bersama.
Menurutnya, menjadi satu kebanggaan bagi UUM juga apabila alumni UUM yang mengetuai syarikat bertaraf antarabangsa berminat untuk kembali menyumbang bakti kepada alma mater.
Dalam pertemuan tersebut, Maxwell CFM International telah membentangkan peluang kolaborasi strategik bersama UUM yang melibatkan bidang perniagaan, penyelidikan, pendidikan dan MyEFM (Malaysia-Europe Facilities Management Initiative).
Manakala UUM yang diketuai oleh Prof. Dr. Haim Hilman telah membentangkan pelan cadangan kolaborasi strategik UUM bersama pemain industri secara amnya dan Maxwell CFM International secara khususnya. Antara program yang dibentangkan beliau ialah program SPICE (Special Project Initiative for Industry & CoE), IDEAS (Industry Driven Education for Advancement & Sustainability), MENTOR (Management Education for Organizational Reform) dan program STRIKE (Strategic Transnational Research & Innovation for Knowledge Enhancement).
Pada sesi itu, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah juga berharap lebih ramai alumni UUM bersedia untuk kembali menyumbang bakti kepada universiti bertuah ini dan besar harapan agar Arvagara Pavithran Subramani selaku alumni dan pemain industri dapat bersama-sama UUM menjayakan segala potensi yang ada terutamanya dalam bidang pengurusan fasiliti.
Turut serta, Profesor-profesor, Dekan-dekan Pusat Pengajian, Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan Pengarah-pengarah CoE yang juga memberikan pandangan yang melibatkan kerjasama strategik penyelidikan, program latihan eksekutif, pertukaran pelajar dan staf UUM dengan pihak industri dan libat urus pihak industri dalam membangunkan kurikulum bidang pengajian.
Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) melalui Pusat Kecemerlangan Penyelidikan CoE, Disaster Management Institute (DMI) akan menjadi sekretariat kerjasama strategik yang bakal diterokai kedua pihak.
Sumber berita : UUM Corp Comm & Pejabat TNCPI