UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus meluaskan kerjasama strategik dengan pihak industri bagi manfaat kedua pihak. Terkini, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah mengadakan perbincangan bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Dato’ Adam Abd Ghani menerusi Webex, baru-baru ini.
UUM berhasrat menjalinkan kerjasama dengan TEKUN Nasional untuk membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap usahawan-usahawan TEKUN Nasional yang dianggap bertaraf kampung dan tidak berdaya saing.
TEKUN Nasional merupakan institusi pembangunan usahawan yang strategik dan mensasarkan hala tuju baharu dengan menjadi sebuah institusi yang menyediakan peluang perniagaan serta peluang menjana pendapatan, pembiayaan modal perniagaan, khidmat bimbingan dan sokongan serta jaringan usahawan.
Dengan kerjasama yang bakal dijalinkan itu akan memenuhi hasrat TEKUN Nasional yang ingin memastikan usahawan TEKUN dapat berkembang maju dan memiliki kelulusan di peringkat pengajian yang lebih tinggi.
Pada sesi perbincangan itu, Prof. Dr. Haim Hilman menyambut baik hasrat dan perancangan TEKUN Nasional yang memerlukan kepakaran UUM dalam membantu merencana pelan strategik TEKUN Nasional bagi tempoh 5 hingga 10 tahun.
Di samping itu, beliau juga menawarkan kepakaran 26 Pusat Kecemerlangan (CoE) yang terdapat di UUM, antaranya Institute of Halal Management (IHM) yang dapat membantu usahawan-usahawan TEKUN Nasional dan staf TEKUN dalam mendepani cabaran industri halal di peringkat global.
Menurutnya, berdasarkan jumlah bilangan usahawan TEKUN Nasional yang ramai sehingga mencecah 900,000 orang di seluruh negara, pastinya terdapat pelbagai ruang dan peluang kajian kes yang boleh dilaksanakan oleh UUM melalui Institute for Management and Business Research (IMBRe).
Prof. Dr. Haim Hilman juga telah membentangkan program-program kolaborasi strategik yang berpotensi untuk diusahakan bersama TEKUN Nasional yang mana terdapat 15 program strategik yang berpotensi besar untuk diterokai secara bersama dengan TEKUN Nasional. Antaranya ialah program DUTA UUM yang menawarkan profesor dan ahli akademik kepada TEKUN Nasional menjadi duta untuk menjuarai bidang penyelidikan, penerbitan dan lain-lain.
“Saya yakin bahawa UUM mempunyai kemampuan pakar-pakar bidang dan usahasama ini akan mendapat sokongan daripada Dekan-Dekan Pusat Pengajian, Profesor-Profesor dan Pusat Tanggungjawab seperti RIMC dan CUIC untuk menjayakan kolaborasi ini,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Adam amat berharap kerjasama strategik bersama UUM ini dapat direalisasikan segera dan pihaknya bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan Pusat Kecemerlangan UUM bagi membincangkan secara berfokus potensi-potensi yang dibentangkan dalam sesi ini.
Katanya, TEKUN Nasional juga menawarkan peluang kolaborasi bagi menambahbaik infrastruktur ICT di TEKUN Nasional secara menyeluruh.
Sumber berita : UUM Corp Comm & Pejabat TNCPI