UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah mengadakan perbincangan bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md Silmi Abdul Rahman menerusi Webex, baru-baru ini.
UUM sebagai sebuah universiti awam berfokus merintis kerjasama strategik bersama TERAJU dalam memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera.
TERAJU merupakan organisasi yang bertanggungjawab untuk meneraju, memacu, dan menyemarakkan agenda pembangunan Bumiputera melalui tindakan dan intervensi strategik menepati keperluan ekonomi semasa.
Dalam pertemuan tersebut, Prof. Dr. Haim Hilman membentangkan program-program kolaborasi strategik bersama TERAJU yang melibatkan lapan (8) program yang berjaya menarik perhatian TERAJU.
Dalam program DUTA UUM melalui Pusat Kecemerlangan (CoE) akan bekerjasama dengan TERAJU untuk membina jaringan strategik dengan institusi negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
UUM akan menawarkan beberapa profesor atau ahli akademik untuk menjadi duta bagi menjuarai bidang penyelidikan,penerbitan dan lain-lain selari dengan agenda TERAJU.
Bagi program MEKAR (membina ekonomi, kehidupan dan akhlak rakyat), UUM menawarkan TERAJU peluang kerjasama dalam sosio ekonomi rakyat.
Menurut Prof. Dr. Haim Hilman, penerapan nilai agama dan akhlak yang baik dalam pembangunan sosio ekonomi rakyat akan mendorong usahawan berjaya untuk membayar zakat dan membantu orang ramai dengan segera.
Lain-lain program seperti program MENTOR, PEMIKIR, EMAS, BUKU, IKHLAS dan PASAK turut mendapat perhatian pihak TERAJU untuk bersama meneroka potensi besar yang ada bagi manfaat kedua pihak.
Prof. Dr. Haim Hilman juga menegaskan bahawa UUM bukan sekadar memfokus kepada penghasilan penyelidikan dan penerbitan sahaja, malah UUM kini serius untuk terlibat sama dengan masyarakat bagi membangunkan rakyat Malaysia.
"Saya percaya bahawa masa hadapan bangsa kita bergantung kepada cendekiawan, teknokrat dan birokrat yang bekerjasama rapat dalam agenda pembangunan Bumiputera," katanya.
TERAJU amat berbesar hati dan teruja menerima hasrat UUM dalam usaha membina hubungan strategik bersama pihak TERAJU.
Menurut Md Silmi, hubungan kerjasama dengan UUM sudah sedia terjalin dan usaha ini adalah untuk memperkasakan lagi kerjasama strategik kedua pihak dengan adanya program-program yang dibentangkan oleh Prof. Dr. Haim Hilman.
Isu- isu pengurusan wakaf dan pengurusan tanah rizab Melayu merupakan antara isu yang menarik perhatian TERAJU kerana gerakan untuk memperbaiki sistem pengurusan sedia ada sedang diusahakan TERAJU dengan beberapa agensi lain di Malaysia dan TERAJU juga mengalu-alukan penglibatan UUM dalam usaha itu.
Di samping itu, TERAJU juga menyatakan hasrat agar UUM dapat membantu TERAJU menangani isu pasaran kerja dalam meningkatkan lagi kualiti pembangunan modal insan.
“Saya berharap dengan adanya kerjasama strategik antara TERAJU dan UUM ini dapat merobohkan tembok penghalang untuk akademia saling bekerjasama dalam memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera.
“Saya juga amat berharap dapat segera berpeluang melaksanakan lawatan kerja ke Kedah terutamanya ke UUM bagi merealisasikan program-program kerjasama yang dirangka,” katanya.
Sumber berita : UUM Corp Comm dan Pejabat TNCPI