UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya memperoleh geran bernilai RM2,782,458 bagi 34 projek penyelidikan berimpak tinggi di bawah Dana Penyelidikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) Fasa 1 Tahun 2021.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah mengucapkan tahniah kepada semua penerima geran tersebut yang berjaya mendapatkan perakuan daripada KPT bagi projek penyelidikan berimpak tinggi itu.
Menurutnya, Skim Geran FRGS adalah geran yang sangat kompetitif di bawah Dana Penyelidikan KPT dan merupakan geran penyelidikan asas yang boleh menghasilkan teori, konsep dan idea baharu beracuan Malaysia demi perkembangan ilmu.
Katanya, beliau percaya pencapaian ini akan merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dalam kalangan penyelidik di UUM khususnya untuk menggalakkan penyelidikan asas agar dapat menjana ilmu baharu yang mampu menyumbang terhadap peningkatan tahap intelektual, penciptaan teknologi baharu dan penyuburan budaya yang dinamik selaras dengan aspirasi negara.
“Teruskan berusaha sejajar dengan agenda GAGAH 2021-2025 khususnya bagi Inisiatif RAPID 1 (Penyelidikan) yang merupakan pemacu kepada kecemerlangan penyelidikan UUM.
“Saya berharap semua penyelidik dapat menjalankan kajian masing-masing mengikut tempoh masa diberikan dan pada masa sama membuahkan hasil yang mampu memanfaatkan orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC), Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima yang telah berjaya dan mendoakan yang terbaik dalam usaha menjalankan penyelidikan mereka.
Menurutnya, ketua penyelidik yang berjaya mendapat geran ini perlu membuat perancangan terperinci agar dapat mencapai Petunjuk Prestasi Utama
(KPI) geran FRGS dari pelbagai aspek seperti modal insan dan penerbitan jurnal seperti mana yang diluluskan dalam kertas cadangan penyelidikan.
Bagi penyelidik yang tidak berjaya dalam permohonan FRGS tahun ini, katanya, diharap mereka tidak berputus asa dan meneruskan usaha untuk mendapatkan geran penyelidikan pada masa akan datang.
Sumber berita : UUM Corp Comm