UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) menyemarakkan lagi jalinan kolaborasi berimpak tinggi dengan Institut Pertanian Bogor (IPB University) dengan mengadakan perbincangan menerusi Webex, baru-baru ini.
Perbincangan itu diketuai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah bersama semua Penolong Naib Canselor, Dekan-Dekan dan Pengarah-Pengarah Pusat Kecemerlangan (CoE), manakala IPB University diwakili Timbalan Rektor Hal Ehwal Antarabangsa, Kerjasama dan Hubungan Alumni, Prof. Dr. Ir. Dodik Ridho Nurrochmat.
Pada sesi perbincangan itu, Prof. Dr. Haim Hilman menyatakan komitmen tinggi yang akan diberikan UUM bagi menjayakan kolaborasi strategik antara kedua pihak.
Menurutnya, kerjasama strategik sedia ada telah berjaya dilaksanakan dengan pengisian aktiviti dan program yang memberi impak positif kepada UUM dan IPB University, justeru kini memerlukan perancangan yang akan memacu kecemerlangan di peringkat serantau dan global.
“Perbicangan kali ini adalah bertujuan merintis ruang dan peluang yang lebih besar untuk kerjasama strategik berimpak tinggi bagi UUM dan IPB University, malah pihak mereka juga telah bersedia untuk memberikan komitmen yang tinggi dalam merealisasikan kajian-kajian yang bersifat rumpun bangsa dan budaya yang sama.
“Saya berharap semua Dekan Pusat Pengajian dan Pengarah CoE dapat mula menggerakkan usaha bagi mengadakan perbincangan secara kumpulan berfokus dengan pihak IPB University,” katanya yang turut berharap kerjasama strategik itu akan menguatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia dalam memacu kecemerlangan akademik di rantau nusantara ini.
Sementara itu, Prof. Dr. Ir. Dodik Ridho mengucapkan setinggi penghargaan kepada UUM di atas inisiatif mengadakan kerjasama strategik tersebut dan berharap kolaborasi strategik yang lebih berimpak tinggi dapat dilaksanakan walaupun dunia sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.
IPB University memiliki sejarah penubuhan yang panjang di awal abad ke-20 sebelum Perang Dunia Kedua sebagai sebuah universiti pertanian di Bogor, Indonesia.
IPB University merupakan universiti yang mempunyai Fakulti Pertanian, Fakulti Perubatan Veterinar, Fakulti Perikanan dan Sains Marin, Fakulti Sains Haiwan, Fakulti Perhutanan dan Persekitaran, Fakulti Teknologi Pertanian, Fakulti Matematik dan Sains Semula Jadi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan serta Fakulti Ekologi Manusia.
Sumber berita : UUM Corp Comm & Pejabat TNCPI