UUM ONLINE: Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) terus melangkah ke hadapan memberikan sumbangan dan khidmat bakti kepada masyarakat menerusi pelaksanaan Projek ‘Empowering dan Mentoring Youth for Academic Success in District of Sik’ (SIK POWER).
Perasmian secara maya telah disempurnakan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman yang mana beliau berkata, projek yang dilaksanakan SAPSP itu diharapkan menjadi pemangkin kepada generasi muda di daerah itu untuk sentiasa bersedia menghadapi cabaran serta terus berusaha untuk berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran.
“Saya akan memberikan sokongan dan sentiasa bekerjasama untuk menjayakan projek ini agar pencapaian akademik pelajar di kawasan luar bandar khususnya di Sik dapat dipertingkatkan walaupun dalam situasi pandemik Covid-19.
“Saya juga berterima kasih di atas inisiatif dan sokongan SAPSP terhadap Program SIK POWER dalam usaha membantu masyarakat setempat agar terus berjaya,” katanya.
SIK POWER dijayakan dengan mendapat sumbangan dana dari Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (All-Party Parlimentary Group Malaysia (APPGM-SDG) serta turut mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sik.
Sementara itu, Ketua Perunding, Shariwa Ruwaida Abbas berkata, projek itu melibatkan seramai 30 pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chepir dan SMK Gulau serta enam fasilitator yang merupakan pelajar universiti berasal dari Sik.
Menurutnya, program tersebut memfokuskan pelajar di kawasan luar bandar dengan tujuan untuk memperkasakan peserta, mengembangkan kekuatan dan kemampuan sehingga mereka dapat berjaya dalam pelajaran, di samping menyesuaikan diri dengan pembelajaran secara atas talian.
Katanya, projek ini juga dijangka akan dapat membantu pelajar-pelajar untuk meningkatkan daya tahan (resilien) sepanjang mengharungi sesi pembelajaran ketika pandemik Covid-19.
Turut serta dalam majlis perasmian itu ialah Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Abdul Razak Abd Manaf, wakil APPGM-SDG iaitu Dr. Teo Sue Ann, Prof. Madya Zainal Abidin Sanusi dan James Ryan Raj serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid, Shahrunnizam Abdul Hamid.
Selain itu, turut serta Timbalan Dekan, Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad dan pensyarah, Dr Nor A’tikah Mat Ali sebagai perunding yang juga berasal daripada Sik melahirkan rasa teruja dan bersemangat untuk menyumbang kepada pembangunan dan pemantapan anak-anak Sik.
Sumber berita : UUM Corp Comm & STML