UUM ONLINE: Untuk menjadi sebuah universiti yang hebat dan mencapai kecemerlangan di persada antarabangsa, Pusat Kecemerlangan (CoE) Universiti Utara Malaysia (UUM) harus menonjolkan peranan agar diiktiraf di peringkat lebih tinggi.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, peranan CoE adalah menjadi pusat kecemerlangan dari aspek penyelidikan mahupun perkhidmatan.
Menurutnya, CoE perlu memimpin orang lain, menunjukkan jalan ke hadapan dan menyampaikan amalan terbaik yang sepatutnya menjadi panduan masyarakat setempat, negeri, negara dan antarabangsa.
Katanya, warga UUM perlu bermuhasabah diri dengan merenung setiap kekurangan, menilai kembali apa yang belum berjaya dan terus berusaha daripada mencipta alasan.
“CoE UUM mempunyai ramai pakar terbaik dalam kalangan staf di bawah satu bumbung dan secara tidak langsung ia membolehkan sasaran dicapai dengan langkah yang dinamik.
“CoE perlu berusaha memastikan ia sentiasa relevan, dirujuk dan dihormati. ‘Relevant, referred and respected’,” katanya pada Program Bicara Minda Akademia: Peranan dan Hala Tuju CoE Dalam Mendepani Pandemik Covid-19 menerusi Webex.
Webinar Bicara Minda Akademia ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Rohami Shafie selaku moderator yang turut menampilkan panel lain iaitu Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM), Prof. Madya Dr. Zainal Md Zan dan Pengarah Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Prof. Madya Dr. Idayu Mahat.
Prof. Dr. Haim Hilman berkata, Pusat Kecemerlangan perlu diiktiraf di peringkat tertinggi kerana universiti adalah menara gading yang merupakan tempat puncak ilmu dan tempat terbaik bagi mengupas segala persoalan.
Katanya, hala tuju CoE bukanlah untuk mengejar kedudukan (rankings) kerana kedudukan itu adalah dapatan selepas sesuatu dilaksanakan dan ia akan datang dengan sendirinya sekiranya universiti atau CoE itu bagus dalam akademik, penyelidikan, penerbitan, penglibatan dengan industri dan juga penglibatan dengan komuniti.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Zainal berkata, universiti adalah menara gading di mana kewujudan universiti mestilah membantu kepada perkembangan ilmu masyarakat dan pembangunan ummah keseluruhannya.
“Tahun 2020 dan 2021 merupakan tahun mencabar yang menuntut semua pihak melaksanakan amalan norma baharu. Hal ini tidak terkecuali bagi IPDM yang mana program-program perlu diadakan secara dalam talian.
“Walaupun sukar di peringkat permulaan, namun begitu ia juga menjadi satu nilai tambah atau aspek positif bagi IPDM kerana dapat berurusan dengan pihak luar terutamanya di luar negara tanpa perlu ke kegara terbabit,” katanya.
Di samping itu, katanya, hubungan baik dengan staf dan rakan felo juga sangat penting dalam usaha untuk menggerakkan aktiviti di CoE yang memerlukan mereka mempunyai hubungan baik dengan pihak luar.
Bagi Prof. Madya Dr. Nor Idayu, dalam usaha mencapai hala tuju CoE perlu berkolaborasi dengan pusat kecemerlangan dari universiti lain dan rakan dari bidang yang berlainan dengan menawarkan kepakaran yang ada.
Buku Pelan Strategik CoE telah dibangunkan sebagai ‘blueprint’ atau ‘roadmap’ CoE berlandaskan kriteria Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) peringkat nasional. Universiti perlu untuk menyebar luaskan program-program yang dibuat oleh CoE kepada masyarakat setempat untuk mempromosikan setiap CoE dengan menggunakan pelbagai platform teknologi yang ada secara percuma.
Oleh: Noor Hasliza Abdul Hamid
Gambar oleh: RIMC
Sumber berita : UUM Corp Comm
14 September 2021