UUM ONLINE: Sintok Dialogue@ECOFI (SD@ECOFI) 2021 yang bertemakan ‘Revitalising the Economy in Unprecedented Times of COVID-19’ amat relevan dengan cabaran pandemik Covid-19 pada masa kini kerana mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap dinamisme perniagaan Malaysia.
Kupasan berkenaan dinyatakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan tugas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.
Menurutnya, syarikat yang dinamik lebih banyak menggunakan teknologi digital bagi memastikan penyelarasan aktiviti lebih efektif, manakala syarikat yang bergantung secara bersemuka dengan pelanggan menerima nasib yang lebih buruk.
“Tercetusnya pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memaksa syarikat perusahaan untuk mengubah operasi perniagaan mereka dengan beralih kepada dunia digital. Antaranya media sosial, internet, e-commerce, dan sistem e-pembayaran adalah contoh bentuk digitalisasi lain.
“Pengusaha syarikat atau perniagaan perlu mengambil bahagian dalam platform media sosial yang merupakan alat digitalisasi penting bagi sebahagian besar perniagaan,” katanya yang menyampaikan ucapan aluan pada seminar yang membahaskan dua topik iaitu ‘Business Dynamics and Digitalization’ dan ‘Sustainable Livelihood Through a New Social Protection Model’ menerusi Zoom.
Program tersebut merupakan anjuran Institut Kajian Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) UUM dengan kerjasama Fakulti Ekonomi dan Bisness (FEB) Universitas Indonesia.
Prof. Dr. Haim Hilman berkata, sesi dialog ini berpotensi menjadi platform menyatukan minda yang luar biasa untuk berkongsi dan meneroka penyelesaian Covid-19 yang seharusnya menjadi batu loncatan untuk perbahasan dasar selanjutnya dan sebagai sumber maklumat bagi pembuat dasar.
Sesi pertama SD@ECOFI mengkaji bagaimana organisasi menyesuaikan diri dan berkembang sebagai tindak balas terhadap norma dan pendigitalan baru, serta aktiviti dan strategi yang diperlukan untuk memastikan penyesuaian ini membolehkan mereka pulih dan bersaing di pasaran.
Sesi kedua pula membincangkan dasar perlindungan sosial untuk memupuk pasaran tenaga kerja yang berkesan dan melindungi mereka dari bahaya dan risiko kerana pandemik telah menimbulkan kesulitan pekerjaan dan buruh di Malaysia, terutama dari segi keselamatan dan kesihatan ekonomi pekerja.
Sementara itu, Pengerusi SD@ECOFI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, program ini didadakan bagi mengkaji kesan makroekonomi Covid-19 ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS), isi rumah dan masyarakat serta kesan pendigitelan ekoran pandemik.
“Dialog melibatkan penyertaan agensi kerajaan dan bukan kerajaan di semua peringkat untuk membincangkan cabaran pembangunan lestari, dan penyelesaian dasar yang berpotensi bagi mencari resolusi pembangunan yang kukuh dan tepat ke arah pembangunan negara berdasarkan norma baru,” katanya.
Sesi dialog itu turut menjemput Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift sebagai pengucaptama serta barisan panel berkaliber seperti Ketua Pegawai Eksekutif Strand Aerospace Malaysia Sdn Bhd, Naguib Mohd Nor; Pengurus Penyelidikan UKMIndonesia, Manuel Andi Julius, Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang dan Ketua Kumpulan Penyelidikan Ekonomi Alam Sekitar, Lembaga Penyelidikan Ekonomi dan Masyarakat (LPEM), Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universitas Indonesia, Dr. Alin Halimatussadiah.
Sumber berita : UUM Corp Comm