UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) bersedia menjalin kerjasama strategik dengan Universitas Djuanda, Bogor, Indonesia.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, beliau menyambut baik hasrat tersebut dan mengalu-alukan kolaborasi yang bakal memberi manfaat kepada kedua pihak.
Menurutnya, UUM dan Universitas Djuanda merancang untuk mengadakan pelbagai bentuk kerjasama menerusi perkongsian kepakaran yang dimiliki.
"Dengan terjalinnya hubungan kerjasama strategik ini kelak, kita sedia untuk mengadakan program mobiliti dengan menghantar pelajar ke universiti itu, mengadakan seminar, sesi dialog dan pertukaran staf.
"Ahli akademik juga boleh mengajar secara online sekiranya tidak secara fizikal atau bersemuka," katanya pada Program Strategic Engagement On exploring Research & Innovation Opportunities Bersama Universitas Djuanda, Bogor, Indonesia menerusi Webex, baru-baru ini.
Tambah beliau, melalui usahasama itu juga pastinya akan ada peningkatan kualiti, seterusnya boleh menambahbaik perkhidmatan.
Senada dengan itu, Ibu Rita dari Universitas Djuanda teruja berkongsi kepakaran yang ada untuk bekerjasama dengan UUM.
Beliau turut berkongsi tentang latar belakang dan perkembangan Universitas Djuanda, Bogor pada pertemuan secara maya itu.
Sumber berita : UUM Corp Comm & Pejabat TNCPI