RIMC ONLINE: Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) UUM baru-baru ini telah berjaya menganjurkan bengkel penulisan artikel bertajuk “Writing Systematic Literature Review Article (SLR)” pada 5 September 2021. Bengkel ini telah dikendalikan oleh penceramah dan fasilitator yang tidak asing lagi, iaitu Dr. Hayrol Azril Mohamed Shaffril daripada Institute for Social Science Studies, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau merupakan Pegawai Penyelidik Sosial yang telah menerbitkan banyak artikel dalam bidang sains sosial di jurnal Q1 yang diindeks oleh Scopus dan juga Web of Science.
Kebelakangan ini, penulisan artikel berbentuk SLR sangat mendapat tumpuan samada oleh penulis mahupun sidang pengarang jurnal. Tidak dinafikan bahawa penulisan artikel berbentuk SLR ini adalah merupakan antara kaedah yang banyak digunapakai untuk menghasilkan penulisan manuskrip yang berkualiti untuk diterima bagi penerbitan di dalam sesebuah jurnal yang berindeks Scopus dan Web of Science (WoS).
Seramai 789 peserta yang terdiri daripada pensyarah, pegawai penyelidik dan pelajar daripada UUM dan juga universiti lain iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menghadiri bengkel ini yang dijalankan secara atas talian.
Bengkel ini juga merupakan inisiatif RIMC untuk mewujudkan kerjasama penerbitan dengan universiti lain terutamanya dengan universiti dari Malaysian Focus University Network (MFUN). Turut hadir di sepanjang bengkel ini ialah Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) UUM, Yang Berusaha Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf.
Sumber berita : Unit Penerbitan RIMC