UUM ONLINE: Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) terus giat aktif mengadakan sesi perkongsian bersama tokoh ternama negara melalui program Biztalk yang diadakan secara berkala.
Terbaru, OYAGSB telah mengadakan BizTalk OYAGSB bertajuk ‘The Malaysian Economy, Moving Forward’ bersama Tan Sri Rafidah Aziz yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi membincangkan tentang langkah bagi memacu ekonomi Malaysia pada era pandemik Covid-19.
Beliau yang merupakan Profesor Adjung OYAGSB menegaskan bahawa selain ekonomi, Malaysia sendiri perlu maju ke hadapan melalui gabungan holistik kerajaan, masyarakat dan juga sektor swasta dengan fokus untuk memahami dan beradaptasi dengan perubahan semasa secara luaran dan dalaman. Ini berpunca daripada nilai-nilai bersepadu yang dikongsi bersama dalam ekonomi dan masyarakat.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), hampir 150,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia bakal berkubur menjelang akhir tahun ini dengan anggaran 580,000 perniagaan bakal gulung tikar yang menyumbang kepada 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Katanya, angka ini amat membimbangkan dan memerlukan dua tindakan selari iaitu pengurusan Covid-19, serta rancangan dan pelaksanaan kemajuan jangka pendek dan panjang.
“Sekiranya pengurusan Covid-19 dijalankan dengan cemerlang, ekonomi negara dapat dibuka mengikut fasa dan mengembalikan pertumbuhan ekonomi.
“Bagi aspek rancangan dan pelaksanaan kemajuan, pemacu pertumbuhan ekonomi negara perlu dikenalpasti semula. Antaranya dengan memastikan setiap subsektor mempunyai kaedah relevan dalam menangani cabaran pandemik ini, terutamanya yang membabitkan PKS,” katanya.
Di samping itu, menurut beliau lagi, persekitaran norma baharu harus diadaptasi oleh perniagaan antaranya dengan mengambil kira elemen IR4.0, Internet of Things dan Artificial Intelligence dalam model perniagaan dan teknologi masing-masing. Keterhubungan antara kediaman, bandar serta pekerjaan merupakan elemen terbaru yang diamalkan di seluruh dunia kini.
Pada webinar ini turut dibincangkan beberapa cadangan bagi kerajaan untuk menangani Covid-19 di Malaysia dan saranan agar seluruh negara bersatu padu bagi memastikan wabak ini dapat dikawal dengan efisien.
Sesi ini yang bersiaran menerusi Facebook dan Webex turut diakhiri dengan pelbagai soalan menarik dalam sesi soal jawab yang berlangsung selama lebih satu jam.
Webinar itu turut disertai Provos UUMKL/Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar; Timbalan Dekan OYAGSB, Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki serta Resident Faculty OYAGSB.
Sumber berita : UUM Corp Comm & OYAGSB