UUM ONLINE: Institute of Local Government Studies (ILGS), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) telah menganjurkan ILGS Talk bertajuk ‘Local Government in Malaysia and Japan: Current Issues and Future Challenges’ dengan kerjasama Japan Council of Local Authorities for International Relations (J.CLAIR), Singapore secara dalam talian, baru-baru ini.
Dekan SOG, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf berkata, SOG dan ILGS menghargai kerjasama yang diberikan oleh pihak J.CLAIR di atas kesudian mengadakan sesi perkongisan ilmu dan pengalaman khususnya di dalam bidang kerajaan tempatan bersama ILGS.
Menurutnya, negara Jepun sentiasa menjadi contoh dan penanda aras bagi Malaysia baik dari segi cara bekerja mahupun nilai-nilai baik yang ada di dalam masyarakatnya.
“Malahan, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga telah melancarkan Dasar Pandang ke Timur khusus bagi mencontohi Jepun dalam aspek membangunkan negara.
“Diharapkan dengan perkongsian ILGS Talk ini dapat memberi input kepada kedua belah pihak dalam mentransformasikan pengurusan kerajaan tempatan pada masa hadapan,” katanya.
ILGS Talk membariskan dua pengucaptama dari ILGS, SOG iaitu Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf dan Prof. Madya Dr. Rozita Abdul Mutalib serta empat pengucaptama daripada J.CLAIR Singapore yang terdiri daripada empat timbalan pengarahnya.
Ucaptama daripada J.CLAIR Singapore membuka program dengan perkongsian mengenai usaha kerajaan tempatan dalam menangani perubahan iklim di Yamaguchi, manakala tiga lagi mengupas cabaran kerajaan tempatan mendepani Covid-19 di Jepun.
Mereka berkongsi pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan tempatan ketika berlangsungnya Festival Tanabata di bandar Ichinomiya, kawalan pandemik ke atas penduduk bukan warganegara dan langkah kawalan Covid-19 ke atas Jepun secara keseluruhannya.
ILGS, SOG turut memberikan input pengetahuan berkaitan dengan urus tadbir kerajaan tempatan di Malaysia berserta dengan kupasan isu dan prospek masa hadapan.
Sebelum mengakhiri program ILGS Talk, peserta diberikan ruang untuk memberikan pandangan yang bersesuaian dengan topik perbincangan.
Program ini telah membuka ruang bagi kerjasama yang berterusan di masa hadapan di antara kedua pihak dalam memantapkan pengurusan kerajaan tempatan.
Program tersebut disertai hampir 100 peserta terdiri daripada kalangan pensyarah dan pelajar pasca siswazah SOG.
Sumber berita : UUM Corp Comm