UUM ONLINE: Penerbitan berkualiti dan berimpak tinggi merupakan salah satu kriteria pengukuran terhadap prestasi penyelidikan sesebuah Pusat Kecemerlangan (CoE) dan juga universiti.
Selaras dengan itu, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) melalui Sekretariat CoE telah menganjurkan webinar Bicara Minda Akademia bertajuk ‘Strategi Penerbitan Berimpak Tinggi: Peranan dan Perancangan CoE untuk Mencapai Taraf HICoE’ yang bertujuan memberi pendedahan, panduan dan strategi terbaik kepada staf akademik dan felo penyelidik CoE dalam meningkatkan penerbitan berimpak tinggi.
Webinar yang dikendalikan oleh Pengarah Institute of Syariah Governance & Islamic Finance (ISGaIF), Prof. Madya Dr. Norazlina Abd. Wahab selaku moderator itu menampilkan panel seperti Timbalan Pengarah RIMC, Prof. Madya Ts. Dr. Aidi Ahmi dan Pengarah Institute of Excellent Teachers and Leaders in Education (IETLE), Prof. Madya Ts. Dr. Arumugam a/l Raman.
Prof. Madya Ts. Dr. Aidi berkata, pemilihan jurnal adalah sangat penting untuk memastikan artikel diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi yang mana ia sangat berkaitan dengan keterlihatan (visibility) dan sitasi sesebuah CoE yang ditubuhkan sebagai pusat rujukan di peringkat nasional dan juga antarabangsa.
Menurutnya, penerbitan adalah salah satu penunjuk (indicator) terhadap kesarjanaan ahli akademik dalam menonjolkan sesuatu CoE mengikut bidang kepakaran selain penyelidikan dan perundingan.
Katanya, penerbitan juga merupakan aktiviti berterusan yang mana prosesnya mengambil masa yang panjang.
“Ahli akademik perlu menjalin kolaborasi strategik dengan rakan-rakan dari universiti lain di dalam dan luar negara sebagai satu strategi dalam meningkatkan penerbitan,” katanya.
Sementara itu, Prof. Madya Ts. Dr. Arumugam berkata, pemilihan felo penyelidik adalah sangat penting kepada CoE untuk memilih felo yang dinamik dalam penulisan, Penyelidikan dan khidmat komuniti.
“Kekuatan felo penyelidik dari kalangan profesor adalah sangat penting kerana mereka mempunyai banyak pengalaman dan konsortium tersendiri. Tugas felo ini adalah membantu felo-felo pelapis lain dalam memberikan panduan untuk berkolaborasi dengan penyelidik luar negara.
“CoE boleh mengadakan retreat untuk sama-sama berbincang apa yang perlu dicapai dan perlu sentiasa mengemaskini pencapaian setiap felo. Selain itu, CoE boleh memberikan pengiktirafan kepada felo yang Berjaya menulis sebagai motivasi kepada orang lain untuk menggalakkan mereka menulis dalam jurnal berimpak tinggi,” katanya.
Sumber berita : UUM Corp Comm & Unit Tugas Khas RIMC