Kalendar aktiviti Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) bagi bulan Oktober diteruskan dengan Bengkel Penulisan Buku Penyelidikan: Dari Perspektif UUM Press.
Bengkel ini mendapat sambutan menggalakkan dengan dihadiri seramai 100 peserta yang terdiri daripada penyelidik di UUM. Bengkel ini telah diterajui oleh Puan Rosma binti Ishak, Timbalan Pengarah UUM Press, yang turut menjalankan fungsi sebagai Editor Perolehan yang memberi bimbingan kepada penulis bagi menghasilkan manuskrip untuk penerbitan.
Bengkel ini bertujuan memberi perkongsian kepada pengarang mahupun bakal pengarang tentang definisi buku penyelidikan dengan lebih jelas, proses penerbitan, pembinaan judul, tanggungjawab pengarang dan editor buku serta format penulisan monograf dan buku penyelidikan.
Bengkel ini dilihat mencapai objektifnya apabila rata-rata peserta menunjukkan minat untuk mula menulis mahupun menyerahkan karya mereka kepada UUM Press untuk diterbitkan. Hal ini selari dengan hasrat RIMC dan UUM Press agar ilmu yang dikongsikan semasa bengkel ini menjadi pencetus semangat, khususnya kepada pensyarah-pensyarah baharu untuk lebih giat menulis.
Aktiviti sebegini dilihat mampu memberi manfaat kepada penyelidik dan UUM Press sendiri. Malah, RIMC selaku penganjur juga tidak pernah jemu memberi galakan kepada para penyelidik untuk membukukan hasil penyelidikan dan karya hebat mereka, dalam usaha menyebarluaskan ilmu kepada khalayak pembaca.
Sumber berita : Unit Penerbitan Penyelidikan RIMC