UUM ONLINE: Kuala Muda - Susulan lawatan kerja ke Tanjung Dawai, baru-baru ini, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah menyampaikan dapatan kajian awal kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid.
Pada pertemuan itu, Prof. Dr. Haim Hilman menyampaikan hasil kajian awal selepas pertemuan bersama Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).
Prof. Dr. Haim berkata, Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) akan melakukan beberapa kajian tentang prasarana khususnya perkhidmatan homestay di Tanjung Dawai serta potensi pelancong yang akan membantu meningkatkan sektor pelancongan di sini.
Selain itu, menurutnya, UUM akan menilai potensi atau peranan yang boleh dimainkan untuk pembangunan Tanjung Dawai dengan kerjasama strategik dengan MPSPK dan KPLB.
“Kerjasama seperti inilah yang dinanti-nantikan oleh masyarakat setempat dan agensi-agensi lain yang mana UUM boleh memainkan peranan khususnya dari aspek pelancongan dan sosio ekonomi di Tanjung Dawai.
“Kita memiliki pakar terdiri pensyarah yang berpengalaman di samping pelajar dalam bidang pelancongan dan perniagaan yang dapat memberi impak positif kepada pembangunan di sini,” katanya.
Hadir sama, Dekan STHEM, Dr. Johan Afendi Ibrahim dan Pengarah UUM Corporate Communication, Mohd Fairus Abd Majid.
Sumber berita : UUM Corp Comm