UUM ONLINE: Sebanyak 1,200 naskah koleksi surat Francis Light yang berada di School of Oriental and African Studies (SOAS),London merungkai cerita dan sejarah tentang pelbagai aspek termasuk hubungan pembesar Melayu dengan barat.
Surat-surat itu kini dimuatkan dalam portal Perpustakaan Universiti Sains Malaysia. USM diberi hak membenarkan akses surat-surat itu kepada awam.
Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-UIAM), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican berkata, salah satu sumber sejarah Pulau Pinang boleh diperolehi menerusi koleksi surat Francis Light yang mana banyak kajian boleh dijalankan dengan menggunakan surat tersebut.
Menurutnya, surat itu mendedahkan aspek perjanjian, perhubungan raja, sistem peribumi, semasa kedatangan awal, diplomasi raja memahami unsur tatanegara dan hubungan Sultan Kedah dengan Francis Light yang agak akrab.
“Dalam surat itu mendedahkan Francis Light berada di alam Melayu selama lebih dari 20 tahun yang mana beliau juga didakwa sebagai menantu Sultan Kedah apabila berkahwin dengan anak angkat baginda.
“Francis Light boleh bercakap Melayu, dan mahir adat istiadat, malah memakai pakaian Melayu. Inilah DNA budaya Francis Light,” katanya pada Webinar Naradata Pensejarahan Negeri Kedah “Beberapa Naratif Sejarah Hubungan Kedah – Inggeris”, anjuran bersama Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) UUM dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK.)
Pada masa sama, beliau turut meluahkan kekecewaaannya apabila pengkaji sejarah mengeluarkan dakwaan tidak tepat dan memutarbelitkan fakta sejarah sebenar.
Menurutnya, banyak masalah dari segi paparan sejarah Pulau Pinang dalam konteks mengapa sejarah Pulau Pinang tidak mempamerkan sejarah orang Melayu sama ada seiring dengan kedatangan Francis Light atau kewujudan orang melayu sebelum Francis Light.
“Saya melihat penulisan sejarah Pulau Pinang tidak banyak disebut Kedah, malah persejarahan dua wilayah itu dianggap wujud dengan sendirinya.
“Saya mengkaji banyak penulisan sejarah Kedah semuanya menulis Pulau Pinang diserah oleh Sultan kepada Inggeris. Semua menipu dengan mengatakan bahawa pendudukan orang Inggeris adalah sah kerana Pulau Pinang tidak ada penghuni dan inilah kepercayaan yang dibawa oleh orang Inggeris dan pihak lain untuk memberi justifikasi,” katanya.
Tambah beliau, kenyataan itu merupakan satu pengkhianatan sejarah dan perlu diperbetulkan bukan hanya dihujah, malah diambil tindakan kepada pihak yang memutarbelitkan fakta sejarah tetapi malangnya tidak ada penjelasan atau memberi maklum balas terhadap kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.
Dalam hal ini katanya, kita berbalik pada surat-surat yang dilihat hanya surat perdagangan dan dianggap tidak ada nilai oleh para sejarawan pada 1970–1990-an, jadi ramai yang tidak mengkaji surat ini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, webinar julung kali diadakan bagi memperkasakan sejarah Kedah sebagai negeri yang berdaulat dan mempunyai sejarah kesultanan yang panjang dan memerintah dalam satu jurai keturunan tidak pernah putus.
Menurutnya, inisiatif itu juga bertujuan merungkai beberapa persoalan persejarahan Kedah khususnya dalam soal hubungan Kedah dan Pulau Pinang semasa zaman penjajahan Inggeris.
Katanya, penglibatan UUM dengan PSMCK memberikan peluang bagi universiti untuk turut sama menyokong usaha PSMCK dan kerajaan negeri dalam meneroka kembali sejarah Kedah.
“Usaha yang mantap dan berterusan ini mampu membina semula naratif sejarah lokal tanpa mengenepikan nilai kebenaran sejarah.
“Kerjasama ini juga merupakan permulaan kepada aktiviti Unit Sejarah dan Kenegaraan SLCP bagi menyerlahkan keberadaan (visibility) Program Ijazah Sarjana Muda Sejarah Gunaan UUM yang merupakan program yang baru ditawarkan pada semester ini,” katanya.
Sumber berita : UUM Corp Comm
28/11/2021