UUM ONLINE: Seramai 25 penyelidik muda Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Bengkel Impak Sitasi kepada Pengembangan Kerjaya Ahli Akademik anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) di Dewan Seminar C, Pusat Konvesyen, baru-baru ini.
Pengarah RIMC, Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf berkata, bengkel tersebut mensasarkan golongan penyelidik muda yang merupakan Principal Investigator (PI) Fundamental Research Grant Scheme For Research Acculturation of Early Career Researchers (FRGS-RACER) dan berusia 45 tahun ke bawah.
Menurutnya, bengkel itu telah dikendalikan oleh Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Katanya, menerusi bengkel itu, peserta berpeluang untuk berkomunikasi secara dua hala dalam berkongsi ilmu dan strategi meningkatkan sitasi penerbitan terutama dalam jurnal yang berimpak tinggi.
“Pendedahan secara langsung ini secara tidak langsung dapat memberikan panduan yang lebih baik kepada ahli akademik muda serta tips untuk meningkatkan sitasi penerbitan sekali gus memberikan impak yang lebih baik terhadap pengembangan kerjaya.
“Proses ini juga diharapkan dapat membantu dalam mencapai KPI bagi Teras 2 iaitu keunggulan penyelidikan dan inovasi bagi peningkatan kumulatif sitasi serta penerbitan per staf,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, objektif bengkel yang dijayakan itu juga adalah untuk memberi motivasi dan semangat kepada penyelidik muda ke arah pengembangan kerjaya secara sihat dan produktif.
Pada bengkel tersebut, Prof. Dr. Mohd Mustafa menekankan bahawa penyelidik muda perlu fokus dalam menerbitkan artikel mengikut bidang masing-masing serta mempunyai strategi yang baik di dalam penerbitan dan kolaborasi terutamanya dengan penyelidik industri dan antarabangsa.
Bengkel ini adalah merupakan suatu platform bagi ahli akademik muda untuk mengekalkan momentum terbaik dalam bidang penulisan akademik dan peningkatan sitasi, bukan sahaja untuk menyumbang kepada universiti malah untuk pengembangan kerjaya mereka pada masa hadapan.
Sumber berita : UUM Corp Comm & Unit Penerbitan Penyelidikan RIMC