UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Universiti Utara Malaysia (UUM) membina kerjasama strategik dengan Malaysia Airlines (MAB) Academy menerusi kunjungan hormat Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, semalam.
Kunjungan beliau itu disambut Ketua Pegawai Eksekutif MAB Academy Sdn. Bhd., Kapten Kamarudin Kamilin dan pengurusan tertinggi MAB Academy.
Dalam pertemuan itu, Naib Canselor memberi taklimat ringkas tentang UUM dan program pengajian yang ditawarkan serta pencapaian universiti.
Di kesempatan itu, beliau mencadangkan agar UUM dan MAB Academy bekerjasama dalam penawaran program pengajian yang menyasarkan juruterbang yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan program eksekutif untuk menjadi nilai tambah kepada kakitangan organisasi itu.
Malah, beberapa pusat pengajian di UUM juga berpotensi untuk mengadakan kerjasama dengan MAB seperti pelancongan, hospitaliti, kandungan media, pengkomputeran, sekuriti siber, logistik dan kargo.
Menurut Haim Hilman lagi, UUM juga sedia menawarkan program 'micro-credentials' bagi tujuan ‘up-skilling’ dan ‘re-skilling’ warga kerja MAB.
Sementara itu, Kapten Kamarudin dalam pertemuan tersebut mengalukan cadangan kolaborasi antara UUM dengan MAB Academy khususnya.
Menurutnya, pihaknya sentiasa terbuka dan menantikan peluang kerjasama dengan universiti.
Kamarudin berharap perbincangan lebih lanjut akan diadakan agar kerjasama strategik antara MAB Academy dan UUM dapat direalisasikan segera.
MAB turut menjemput pelajar UUM untuk menyertai program ‘inflight training’ bagi mendapat pengalaman secara terus bersama MAB Academy.
Di akhir pertemuan, Naib Canselor bersama Provos UUMKL merangkap Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar dan Dekan SOL, Prof. Madya Dr. Yusramizza Yusuf dibawa melawat sekitar tempat latihan di MAB Academy.
Sumber berita : UUM Corp Comm