UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Industri pelancongan yang kembali rancak sebaik sahaja pembukaan sempadan negara dibuat pada April lalu secara tidak langsung membuka ruang kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk mengembangkan kerjasama dengan syarikat-syarikat korporat berkaitan.
Antara syarikat berkenaan ialah POS Aviation yang menerima kunjungan daripada Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, baru-baru ini bagi membincangkan kerjasama yang boleh memanfaatkan kedua-dua pihak.
Dalam perbincangan bersama pengurusan tertinggi POS Aviation itu, Haim Hilman telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dalam bidang katering serta kajian yang boleh dilaksanakan dalam bidang hospitaliti, logistik dan automasi memandangkan universiti ini mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.
Kerjasama yang dicadangkan ini, menurut Haim Hilman, bersesuaian dengan portfolio POS Aviation memandangkan syarikat ini menawarkan khidmat pengendalian darat dan kargo, katering dalam penerbangan, penyelenggaraan pesawat dan perkhidmatan kejuruteraan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif POS Aviation, Mohamad Asif Abd Talib menyambut baik hasrat berkenaan malah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan UUM dalam penyediaan kandungan media kreatif khususnya.
Selain itu juga, beliau turut mengutarakan isu ‘humanizing technology’ yang selama ini hanya dilaksanakan berdasarkan pengalaman semata-mata tanpa berdasarkan kajian saintifik mahupun hasil penyelidikan.
Mohamad Asif meminta agar satu kajian berkenaan ‘generation gap’ dapat dilakukan kerana jurang antara generasi memerlukan satu titik pertengahan bagi mengurangkan konflik selain mengalu-alukan pelajar UUM untuk menjalani latihan industri di syarikat berkenaan.
Haim Hilman yang berbesar hati dengan perbincangan berkenaan turut menjemput Mohamad Arif untuk hadir ke Sintok bagi memberi ceramah bukan sahaja kepada pelajar-pelajar yang berkaitan malah kepada seluruh warga kampus.
Sumber berita: UUM Corp Comm