UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah mengadakan pertemuan dengan pihak Co-opbank Pertama Malaysia Berhad atau Co-opbank Pertama (CBP) baru-baru ini bagi membincangkan peluang kolaborasi antara kedua pihak.
Antara pengisian perbincangan tersebut adalah kolaborasi dalam bidang pemasaran dan penyediaan peluang pekerjaan kepada graduan UUM khusus bagi bidang pemasaran sebagai usaha mengubah persepsi pelajar terhadap pekerjaan berkaitan pemasaran, justeru selain memberi peluang pekerjaan, UUM dan CBP dapat menjalankan penyelidikan berkenaan isu tersebut.
Selain itu, Haim Hilman juga menawarkan peluang menyambung pelajaran bagi program peringkat sarjana dan Doktor Falsafah di UUM kepada staf CBP pada kadar yuran istimewa.
Beliau juga mencadangkan penerbitan buku tentang kisah perjalanan penubuhan CBP, kerjasama dalam penyediaan dokumentasi polisi seperti kehendak Akta SPRM agar penggubalan polisi dalaman dilakukan dan jalinan kerjasama dalam penyediaan kajian kes.
Di samping itu, UUM juga bersedia untuk mempersiapkan bakat terdiri daripada pelajar universiti ini kepada CBP untuk prospek masa hadapan, selain penawaran kerjasama dalam kandungan kreatif dengan peruntukan dana oleh CBP untuk penganjuran pertandingan penyediaan video kepada CBP.
Haim Hilman turut mengalukan kerjasama CBP untuk sumbangan dana anugerah kepada pelajar cemerlang di majlis konvokesyen yang mana anugerah tersebut akan dinamakan sempena CBP.
Cadangan dan idea Naib Canselor itu telah disambut baik pihak CBP yang sememangnya menantikan peluang untuk bekerjasama dengan UUM.
Pada masa sama, pihak CBP mengalu-alukan kerjasama daripada profesor-profesor UUM dengan pihak industri demi manfaat bersama
Kedua pihak berharap perbincangan tersebut akan membuahkan hasil dan akan diperhalusi untuk tindakan segera.
Sumber berita : UUM Corp Comm