UUM ONLINE: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima lawatan dari pihak Halal Development Corporation (HDC) bagi tujuan kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan dan konsultansi.
Perbincangan yang diketuai oleh Pengarah IPIZ, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor adalah bersama Pengurus Kanan HDC, Mohd Zamulud Awang Kechick bagi merintis kerjasama dengan HDC dalam bidang penyelidikan dan inovasi.
Pada sesi perbincangan ini, Selamah telah berkongsi berkaitan Pelan Pembangunan Ekonomi Ummah yang dilaksanakan oleh IPIZ untuk mewujudkan kolaborasi strategik bersama HDC.
Beliau juga berkongsi pengalaman dan cabaran IPIZ dalam menguruskan geran penyelidikan dan perundingan IPIZ dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (IPIZ-LZNK) sejak IPIZ ditubuhkan pada 2018 sebagai panduan kepada HDC yang bakal menguruskan dana wakaf usahawan Perusahaan Kecil dan Sedarhana (PKS).
IPIZ juga merancang untuk berkolaborasi dengan HDC dalam bentuk penyelidikan dan inovasi untuk melihat keberkesanan dan juga pelaksanaan wakaf PKS tersebut kelak.
Selamah berkata, perbincangan tersebut merupakan perbincangan yang sangat menarik kerana banyak percambahan idea dan kata sepakat yang dicapai antara IPIZ dengan HDC.
Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih dan turut berbangga apabila HDC telah memilih IPIZ sebagai salah satu institusi rujukan bagi HDC untuk berkongsi dan mendapatkan idea bagi menjayakan Model Usahawan Wakaf PKS yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
“Saya berharap agar kolaborasi antara IPIZ dan HDC dapat diperkasakan lagi demi manfaat dan kebaikan kedua-dua belah pihak dan pembangunan ekonomi ummah,” katanya.
Manakala Mohd Zamulud telah menerangkan tentang Model Wakaf Usahawan untuk membantu usahawan PKS melalui pembiayaan berkonsepkan ‘Qard al-Hassan’ dengan kerjasama Bank Islam. Dana Wakaf Usahawan ini adalah pembiayaan berbentuk aset seperti mesin, peti sejuk dan lain-lain mengikut keperluan usahawan tersebut.
Selain itu, HDC juga turut menawarkan kepada IPIZ dan Institut Pengurusan Halal (IHM) bagi mendapatkan 20 orang usahawan Muslim yang berpotensi untuk diberikan dana wakaf usahawan PKS itu.
Mohd Zamulud berharap kerjasama antara kedua pihak ini dapat direalisasikan bagi mencapai agenda masing-masing, seterusnya memanfaatkan semua pihak terlibat.
Sumber berita : UUM Corp Comm & IPIZ