UUM ONLINE: Bagi memperkasakan lagi pembangunan ummah khusus dalam bidang ekonomi, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) terus memperkemaskan kerjasama sedia ada menerusi perbincangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, semalam.
Perbincangan hampir dua jam itu melibatkan Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman bersama-sama pegawai kanan UUM dan LZNK.
Haim Hilman berkata, pertemuan tersebut menjadi titik tolak untuk fasa berikut antara UUM dengan LZNK dengan satu matlamat iaitu membangunkan ummah.
Menurutnya, beliau mahu UUM dan LZNK bekerjasama mengadakan program dan pada masa sama memperkemaskan lagi program LZNK sedia ada dengan kerjasama universiti agar ianya dapat diperkukuhkan lagi.
"Kedua institusi ini mempunyai perjuangan besar yang perlu dilakukan bersama demi agama dan negara. Kita akan bersama-sama menggerakkan agenda berkaitan komuniti.
"UUM dan LZNK telah dipilih Allah untuk menjadi sebahagian cerita pembangunan ummah ini. Kita mahu mendidik rakyat menerusi dua institusi ini bukan semata-mata dalam akademik, sebaliknya mereka mendapat sentuhan daripada dua institusi besar di Kedah dalam usaha untuk membantu rakyat di negeri ini khususnya," katanya.
Tambah Haim Hilman, kehebatan sesuatu perkara itu bermula dengan idea 'gila' atau pemikiran di luar kotak.
Tambah beliau lagi, UUM dan LZNK harus berfikir atau mencari resolusi bagaimana untuk mengembalikan ekonomi orang Islam, seterusnya mengekalkan penguasaan ekonomi tersebut, justeru UUM akan memainkan peranan dalam bidang penyelidikan manakala LZNK akan menguruskan bahagian pengoperasian.
Dalam pertemuan itu jugau, Haim Hilman telah menjelaskan tentang sembilan peluang kolaborasi yang boleh dilaksanakan antara kedua pihak menerusi program Mentor, Ambassador, Thinker, Bijak, Mekar, Ikhlas, Emas, Pasak dan Paksi.
Sementara itu, Zakaria merakamkan ucapan tahniah di atas kesudian UUM membuka laluan kerjasama dengan LZNK.
Menurutnya, beliau berharap UUM dapat meneruskan kecemerlangan universiti dan bersama-sama memikirkan cara menjadikan ummah cemerlang dengan sentuhan UUM dan juga LZNK.
Katanya, kedua institusi ini mempunyai wadah yang sama iaitu membangunkan ummah, justeru ia memerlukan kesungguhan dengan hala tuju, dasar dan bidang tugas yang jelas.
Sepanjang sesi perbincangan itu, Zakaria turut berkongsi perkembangan semasa dan pembaharuan dibawa LZNK yang banyak membantu golongan asnaf terutama dalam bidang pendidikan.
Beliau turut berkongsi tentang tiga sekolah agama yang diambil alih LZNK untuk dibangunkan, membantu anak orang asli di Ulu Legong, Baling untuk belajar ilmu agama dan juga mewujudkan Zon Pembangunan Ekonomi Ummah bagi membantu golongan pesawah.
"Tidak akan berhasil usaha yang dilaksanakan ini jika dilakukan sendirian, sebaliknya ia perlu dilakukan secara bersama dan LZNK telah mendapat kerjasama daripada penyelidik UUM.
"Saya berharap UUM akan terus bersama LZNK dan dapat berkongsi kepakaran dimiliki demi membangunkan ummah kita," katanya.
Sumber berita : UUM Corp Comm