UUM ONLINE: Selangor - Dalam usaha memartabatkan agenda keusahawanan di peringkat universiti, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Kerjasama itu diperkukuhkan lagi dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan SKM menerusi penyerahan MoU pada Hari Koperasi Negara 2022 sempena 100 Tahun Koperasi di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC), Seri Kembangan, hari ini.
Penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif SKM, Zazali Haron kepada Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dengan disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Haim Hilman berkata, MoU itu merupakan perintis ke arah kerjasama strategik antara UUM dan SKM yang membolehkan graduan bakal memperoleh ilmu dan pengalaman sebenar berkaitan dalam mengurus tadbir sesebuah perniagaan melalui gerakan koperasi.
Menurutnya, bukan sahaja kerjasama tersebut memanfaatkan UUM, malah SKM yang mana mereka juga berpeluang membina jaringan melalui peningkatan pembangunan sumber manusia melalui kursus yang disediakan oleh UUM menerusi CEDI.
“Saya yakin kerjasama ini dapat membantu universiti dan agensi bagi memastikan kebolehpasaran graduan dalam kalangan mahasiswa yang melibatkan diri dalam keusahawanan dapat dipertingkatkan.
“Pada masa sama, kerjasama ini juga secara tidak langsung menyokong agenda kebolehpasaran siswazah yang diketengahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha UUM membuka peluang kepada pelajar dan staf UUM untuk meneroka bidang koperasi dalam membentuk minda keusahawanan yang holistik,” katanya.
Beliau juga berharap pengalaman yang bakal diperoleh melalui kerjasama itu bakal mengukuhkan pengetahuan berkaitan keusahawanan, malah dapat membantu mempersiapkan pelajar terutamanya untuk membina kerjaya pada masa hadapan.
Sumber berita : UUM Corp Comm