UUM ONLINE: Tabir Omega Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur telah hadir ke Universiti Utara Mlaaysia (UUM) bagi sesi perbincangan pengkomersialan produk bersama Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) serta penyelidik dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) iaitu Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail di EDC UUM, baru-baru ini.
Delegasi yang diketuai oleh Ketua Pengarah Eksekutif Tabir Omega Sdn. Bhd., Izham Faizal Noor disambut Pengarah ICC, adalah Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar di Anjung Tamu terlebih dahulu sebelum sesi perbincangan bermula.
Sesi perbincangan dimulakan oleh Prof. Madya Dr. Risyawati yang menerangkan tentang produk-produk terkini yang telah dihasilkan serta berpotensi untuk dikomersial.
Seterusnya, sesi diteruskan dengan perbincangan bersama pihak ICC bagi membincangkan hala tuju harta-harta intelek yang telah dihasilkan oleh penyelidik agar dapat dipasarkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu, agenda perbincangan turut tertumpu kepada aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang dalam penghasilan dan pengkomersialan produk-produk yang berpotensi.
Izham berkata, sebagai syarikat yang memasarkan produk, pihaknya amat menitik berat isu keselamatan kepada pembeli dan pengguna.
“Bagi kami ianya merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan, selain merupakan tanggungjawab sebagai seorang peniaga yang beragama Islam untuk bersikap amanah dalam perniagaan.
“Oleh yang demikian, kami bekerjasama dengan UUM menerusi Prof. Madya Dr. Risyawati dalam memastikan produk-produk yang akan dipasarkan, adalah produk yang berkualiti dan selamat digunakan,” katanya yang turut berterima kasih kepada ICC atas usaha mengkomersialkan harta intelek universiti.
Sumber berita : UUM Corp Comm & ICC UUM