UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi menjayakan agenda keusahawanan di universiti ini.
Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam ucapannya menyambut baik usaha yang dilakukan selain optimis kerjasama strategik ini akan berpanjangan dan memberi manfaat kepada semua pihak.
Jelasnya, kehadiran pihak SKM membuktikan sokongan terhadap kerjasama strategik dan inisiatif yang digerakkan oleh UUM khususnya dalam memartabatkan agenda keusahawanan di universiti ini.
“Syabas saya ucapkan kepada Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) yang telah menggerakkan kerjasama strategik berimpak tinggi dengan pihak SKM.
“Melalui persetujuan pada hari ini UUM dapat menjadi rakan strategik kepada SKM untuk bekerjasama bagi menjayakan pelbagai program pada masa akan datang,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua organisasi yang berlangsung di Balai Tamu, semalam.
Dalam ucapan balas, Pengerusi Eksekutif, SKM, Zazali Haron berkata pihaknya sedia membuka ruang kerjasama kerana menerusi kolaborasi ini dapat memberi peluang demi manfaat bersama.
SKM komited menyusun strategi selaras dengan visi dan misi organisasi berkenaan untuk merangsang pembangunan koperasi, meningkatkan penglibatan koperasi dalam pelbagai sektor ekonomi dan membangunkan modal insan yang kompeten serta berbudaya keusahawanan.
“Terdapat banyak agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) seperti SKM malah MoU ini berpotensi untuk dipanjangkan lagi kepada pihak lain, jadi saya melihat jalinan kerjasama ini membantu SKM menjadi lebih dinamik dan efisien,” ujarnya yang turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kesudian usaha sama ini.
Selepas pemeteraian ini, UUM dan SKM akan terus bekerjasama rapat demi memastikan kelangsungan holistik dalam pembangunan masyarakat dan negara.
Turut hadir Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Pembangunan, SKM, Azam Sulaiman, Penolong Naib Canselor UUM College of Law, Government and Internasional Studies (COLGIS), Prof. Dr. Nuarrual Hilal Md Dahlan, Penolong Naib Canselor UUM College of Arts and Sciences (CAS), Prof. Madya Dr. Mazni Omar dan Pengarah Eksekutif CEDI, Prof. Madya Dr. Jauriyah Shamsuddin.
Sumber berita : UUM Corp Comm