UUM ONLINE: Semua pusat pengajian dan pusat tanggungjawab digesa untuk ‘all out’ dalam menjayakan Pelan Strategik UUM yang kini sudah memasuki sukuan ketiga (Julai-Disember).
Bercakap pada Mesyuarat Pembentangan Pencapaian Pelan Strategik Sukuan Kedua 2022 (Jan-Jun), Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kini adalah masa untuk bersungguh-sungguh dengan memastikan semua data direkod dan diusahakan sebaik mungkin.
Menurutnya, banyak Indeks Prestasi Utama (KPI) dan Petunjuk Prestasi (PI) yang perlu diusahakan lagi bagi kesemua enam teras strategik.
“Pelan strategik ini harus bersedia untuk bergerak bukan hanya menjadi sasaran untuk dicuba tetapi kita harus mencuba untuk melakukan atau melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh.
“Kita kena percaya bahawa kita boleh dan mampu melakukan untuk berada di kelompok 100 terbaik dunia. Jika kita tidak berusaha di peringkat kepimpinan, anak buah juga tidak mampu untuk melihat ke hadapan hala tuju yang direncanakan,” katanya, petang tadi.
Sehubungan itu, Haim Hilman berkata, semua ketua pusat pengajian dan pusat tanggungjawab perlu ‘all out’ dengan apa yang dilaksanakan untuk mencapai sasaran tersebut.
Pencapaian Pelan Strategik Sukuan Kedua telah dibentangkan oleh Pengarah Bahagian Perancangan Korporat, Prof. Madya Dr. Mazni Omar.
Menurutnya, secara keseluruhan daripada 255 PI yang ditetapkan, sebanyak 110 PI bersamaan 43 peratus indikator berwarna biru berjaya mencapai 91 peratus ke atas, 20 PI (8 peratus) berwarna kuning, 32 PI (13 peratus) berwarna ungu, 24 PI (9 peratus) berwarna jingga dan 5 PI (2 peratus) berwarna hijau, manakala 39 PI (15 peratus) berwarna hitam dan 25 PI (10 peratus) berwarna merah.
Pelan Strategik UUM merupakan pemacu kepada universiti dalam menggerakkan objektif bagi memastikan perancangan jangka masa panjang dapat dilaksanakan.
Secara umumya, Pelan Strategik UUM dibahagikan kepada enam teras strategik iaitu Teras 1: Academic Excellence; Teras 2: Research Excellence; Teras 3: Sustainable Community and Industrial Engagement; Teras 4: Financial Sustainability; Teras 5: Service Excellence dan Teras 6: Holistic Graduates.
Sumber berita : UUM Corp Comm
1 Ogos 2022