26 JANUARI 2023 / 4 REJAB 1444H
=============================
"UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
(THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)
Oleh: Mohd Mahadi Mohd Razani
Gambar oleh: Pusat Pengajian Kerajaan (SoG)
SULAM DAN MEKAR SoG TINGGALKAN KENANGAN DI YAN
UUM ONLINE: Yan – Program Service-Learning University for Society (SULAM) dan program Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) meninggalkan kenangan bagi 151 orang pelajar bagi semester A221 SoG yang mengambil subjek SULAM SoG iaitu subjek GMJT3113 Pentadbiran Alam Sekitar dan GMGA1013 Asas Pentadbiran Awam setelah hampir sebulan menjayakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan beberapa kampung di daerah itu.
Baru-baru ini telah diadakan majlis penutup SULAM dan MEKAR SoG di Masjid Kampung Kuala Sungai Daun dan program Jalinan Kasih Anak Angkat bersama komuniti di sekitar kampung berkenaan.
Program tersebut turut membabitkan 36 keluarga angkat terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Daun Atas, Kampung Sungai Daun Tengah dan Kampung Kuala Sungai Daun.
Sepanjang program SULAM dan MEKAR, pelbagai pengisian aktiviti telah diadakan, antaranya gotong-royong kenduri rakyat, aktiviti sukan rakyat dan aktiviti membersihkan 10 rumah warga emas di sekitar kampung itu.
Dekan SoG, Prof. Madya Dr. Halimah Abd Manaf dalam ucapannya berkata, pentingnya keterlibatan mahasiswa universiti dalam pelaksanaan aktiviti bersama masyarakat sekitar melalui pembelajaran dan pengajaran yang telah diperoleh di dalam bilik kuliah.
“Mahasiswa universiti bukan hanya mempelajari sesuatu dalam bilik kuliah untuk mendapatkan segulung ijazah, malah bertanggungjawab juga untuk turun padang bagi menyantuni masyarakat setempat.
“Usaha ini sedikit sebanyak dapat menyemarakkan rasa kasih dan saling membantu antara satu sama lain, selaras dengan hasrat untuk merakyatkan universiti,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Sungai Daun, Zulkifli Omar berkata, Program SULAM dan MEKAR SoG berjaya dilaksanakan dengan jayanya melalui usaha universiti dalam membantu penduduk di sekitar Yan melalui 32 program SULAM SoG yang telah dilaksanakan di daerah itu bermula awal Januari lalu.
Beliau berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan lagi pada masa hadapan bagi meningkatkan motivasi anak-anak kampung untuk ke menara gading.
Manakala menurut wakil pelajar, Nor Aini Mambang dari Semporna, Sabah, program Jalinan Kasih anjuran SoG itu amat baik kerana ia memberikan pengalaman kepada pelajar untuk merasai sendiri tinggal bersama keluarga angkat di Yan.
Selain itu, tambahnya, pelajar juga dapat melihat dan mempelajari pelbagai budaya masyarakat yang berbeza dari tempat mereka sendiri.
Pandangan dari wakil pelajar Nanthini A/P Ananthen yang berasal dari Perak pula, “I engaged with the residents, and it was fantastic person and so kind to take care of me and my friends.”
Sumber berita : UUM Corp Comm