Program Competency Based Instrument: Behavioural Event Self- Assessment (CBI-BESA) atau dikenali sebagai Program Instrumen Berasaskan Kompetensi: Penilaian Kendiri Bersandarkan Peristiwa telah diadakan pada 24 – 27 Januari 2023 (Selasa – Jumaat) di Hotel EDC UUM. Program ini adalah inisiatif strategik UUM dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang diurusetiakan oleh Unit Pembangunan Bakat (UPB), Jabatan Pendaftar dan Pusat Pengajian Perniagaan (SBM). Objektif bengkel adalah untuk melahirkan pakar pengurusan bakat dan kepimpinan di dalam ekosistem pendidikan tinggi negara. Program ini merupakan usaha berterusan UUM dan AKEPT untuk membangun kecemerlangan kepimpinan Institusi Pengajian Tinggi melalui inisiatif untuk pemerkasaan kelompok bakat dengan melahirkan barisan Penilai Tingkah Laku Kendiri (Qualified Behavioural Event Self-Assessment Assessor). Disamping menjana pendapatan, UUM juga memperkenalkan produk latihan pembangunan bakat melalui kerjasama antara Jabatan Pendaftar dan SBM kepada semua UA.
Beberapa program sampingan diatur, antaranya lawatan sekitar kampus dan persinggahan pertama adalah di Anjung Tamu dan delegasi dibawa mengelilingi kampus di rimba hijau ini. Peserta menyatakan kekaguman dengan panorama dan memuji fasiliti UUM terutama di Anjung Tamu dan Pusat Sukan. Peserta rombongan juga di bawa ke Pekan Rabu bagi memberi peluang peserta membawa balik buah tangan dan memperkenalkan Pekan Rabu yang telah berwajah baru. Peserta kemudian dibawa mengelilingi pekan Alor Setar serta beberapa tarikan utama di sekitar Alor Setar.
Sekian, salam hormat.
Sumber berita : UUM Corp Comm